Israel nyahaktif GPS, halang serangan Iran 

Israel nyahaktif GPS, halang serangan Iran 

KERETA kebal milik tentera IDF melintasi sempadan Gaza di selatan Israel.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Sistem Pengesanan Global (GPS) disekat di seluruh Israel bagi menghalang peluru berpandu dan dron dilancarkan ketika ketegangan meningkat dengan Iran. 

Lapor BBC, sistem GPS yang merupakan langkah pertahanan yang direka untuk menjejaskan sistem persenjataan pihak lawan mengalami gangguan di bahagian tengah Israel.  

Rakyat Israel juga dilaporkan tidak dapat menggunakan perkhidmatan aplikasi berasaskan lokasi di bandar utama seperti di Tel Aviv dan Baitulmuqaddis yang jauh dari zon pertempuran aktif. 

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Laksamana Muda Daniel Hagari mengesahkan negara itu menyekat GPS yang dirujuk sebagai ‘spoofing’. 

Times of Israel turut melaporkan, rakyatnya digesa untuk menetapkan lokasi secara manual pada aplikasi yang mengeluarkan amaran tentang serangan roket Iran ketika gangguan GPS tersebut.  

Walaupun begitu, Hagari menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik susulan sekatan berkenaan. 

“Tidak perlu beli generator, menyimpan makanan dan mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM),” tulisnya di laman X. 

Pada masa sama, IDF juga mengumumkan untuk membekukan semua cuti tentera yang berkhidmat dengan unit tempur. 

Arahan itu selepas pasukan tentera simpanan dipanggil bagi memperkukuhkan unit pertahanan udara. 

Pihak berkuasa Israel tidak menolak kemungkinan Iran akan melancarkan serangan dalam tempoh 48 jam sempena Hari Al-Quds (Hari Baitulmuqaddis) yang juga adalah Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan. 

Ia adalah hari yang sering dianjurkan bagi mengadakan perhimpunan demi Palestin dan anti-Israel di Iran.  

Iran bertekad membalas serangan terhadap bangunan konsulatnya di Syria Isnin lalu yang mengorbankan 13 orang termasuk jeneral kanan tenteranya.   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN