Hezbollah lancar serangan terbesar ke arah Israel

Hezbollah lancar serangan terbesar ke arah Israel

ANGGOTA pasukan Hezbollah mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan di Aaramta, Lebanon.–AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Kumpulan Hezbollah Lubnan yang disokong Iran memaklumkan pihaknya melancarkan dron terhadap pangkalan tentera Israel di utara bandar Acre, serangan terbesar ke arah wilayah rejim Zionis sejak perang Gaza bermula.

Tentera Israel bagaimanapun mendakwa tidak mengetahui mana-mana kemudahannya dibedil oleh kumpuan itu, tetapi sebelum ini mengakui memintas dua sasaran udara di luar pantai utara Israel.

Kedua-dua pihak terlibat dalam pertukaran tembakan peluru berpandu dan serangan udara yang kerap sejak permulaan peperangan di Gaza Oktober lalu, tetapi mengelak daripada mendorong konflik itu ke arah perang sebenar.

Namun serangan berterusan meningkatkan kebimbangan kemalangan atau salah perhitungan boleh memburukkan lagi ketegangan dan mungkin menarik kuasa serantau serta dunia lain termasuk Amerika Syarikat (AS).

Hezbollah berkata, pihaknya melancarkan serangan dron itu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel sebelum ini yang membunuh seorang pejuangnya. 

Kumpulan itu turut menerbitkan gambar satelit lokasi serangan yang terletak di tengah-tengah antara Acre dan Nahariyya.

Sebagai tindak balas, tentera Israel berkata, jet pejuang mengenai sasaran tentera di Ayta ash Shab dan Blida dan di kawasan Markaba di selatan Lebanon.

Serangan udara Israel dilaporkan membunuh dua pejuang Hezbollah di selatan Lebanon dan kumpulan itu mengesahkan kematian salah seorang pejuangnya, Hussein Azkoul, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Israel turut mendakwa serangan berasingan semalaman pada Isnin hingga Selasa lalu turut membunuh seorang pejuang pasukan Radwan dalam unit elit Hezbollah namun kumpulan itu belum mengesahkan kematiannya.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN