Dana AS umpama 'lampu hijau' kepada Israel teruskan kekejaman di Gaza

Dana AS umpama ‘lampu hijau’ kepada Israel teruskan kekejaman di Gaza

SEORANG lelaki Palestin menunggu pasukan penyelamat mencari anaknya di bawah runtuhan bangunan di Rafah di selatan Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kumpulan pejuang Hamas  mengecam tindakan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan bantuan ketenteraan baharu berjumlah berbilion dolar kepada Israel, menyifatkannya sebagai lampu hijau kepada rejim Zionis untuk terus menyeksa penduduk Gaza.

LESEN TINGKAT KEKEJAMAN

Kelmarin, Dewan Perwakilan AS meluluskan bantuan ketenteraan berjumlah AS$13 bilion (RM62.10 bilion) kepada sekutunya itu, sebahagian besarnya adalah untuk mengukuhkan pertahanan udara Israel.

“Sokongan ini, yang melanggar undang-undang antarabangsa adalah lesen dan lampu hijau untuk kerajaan pelampau Zionis Israel meneruskan pencerobohan kejam terhadap rakyat kita.

“Kami menganggap langkah ini sebagai pengesahan keterlibatan dan perkongsian rasmi AS dalam perang pemusnahan yang dilancarkan oleh tentera pendudukan fasis terhadap rakyat Palestin kami di Semenanjung Gaza,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Washington sudah menjadi pembekal tentera terbesar Israel.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, rang undang-undang bantuan itu sangat dihargai dan menunjukkan sokongan kuat untuk Israel selain mempertahankan tamadun Barat.

Rang undang-undang AS itu mengatakan lebih AS$9 bilion (RM9 bilion) akan diperuntukkan untuk menangani keperluan besar bantuan kemanusiaan di Gaza serta populasi lain yang terdedah di seluruh dunia.

RAMPAS HASIL KEWANGAN

Perang Gaza dilaporkan turut mempercepatkan usaha Israel merampas ekonomi Palestin yang dipercayai bermula selepas Perjanjian Damai Oslo 1993.

Walaupun perang Israel-Hamas sejak 7 Oktober tahun lalu memusnahkan sebahagian besar Gaza, ia juga turut menjejaskan kewangan awam dan ekonomi yang lebih luas di Tebing Barat yang diduduki.

Menurut Ahli Ekonomi, Adel Samara, Israel mengetatkan simpulan terhadap Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang memerintah sebahagian Tebing Barat dengan menahan hasil cukai yang dikutip bagi pihak mereka.

Mata pencarian Palestin juga terjejas akibat larangan buruh menyeberang ke Israel dan kemerosotan mendadak dalam pelancongan di wilayah yang dilanda keganasan, termasuk musim Krismas yang tenang di Baitulaham.

“Secara teknikal, tidak ada ekonomi Palestin di bawah pendudukan Israel sebaliknya rejim Zionis menguasai ekonomi kita dengan berkesan,” katanya.

Ekonomi Palestin sebahagian besarnya ditadbir oleh Protokol Paris 1994, yang memberikan kawalan tunggal ke atas sempadan wilayah kepada Israel dan hak untuk mengutip duti import serta cukai nilai tambah untuk PA.

“Israel berulang kali memanfaatkan kuasa itu untuk melucutkan nilai hasil yang sangat diperlukan penduduk Palestin.

“Tetapi perang Gaza mengetatkan lagi cengkaman Israel dengan sebahagian besar cukai kastam ditahan sejak serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

“Tanpa dana ini, PA bergelut untuk membayar gaji kakitangan awamnya dan kos pengendaliannya,” kata Penyelidik  Institut Perancis untuk Timur Dekat, Taher Al-Labadi.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN