RAFAH: Seorang bayi perempuan Palestin selamat dibedah keluar dari rahim ibunya yang maut disamping suami dan seorang lagi anak mereka akibat serangan kejam Israel di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza.
Seorang doktor yang merawatnya, Mohammed Salama berkata, bayi seberat 1.4 kilogram (kg) itu dilahirkan melalui pembedahan Caesarean dan kini berada dalam keadaan stabil serta beransur pulih.
“Ibunya, Sabreen Al-Sakani hamil 30 minggu.
“Bayi itu diletakkan di dalam inkubator di hospital Rafah bersama bayi lain, dengan perkataan ‘Bayi syahid Sabreen Al-Sakani’ ditulis pada pita di dadanya,” katanya.
Bapa saudara bayi itu, Rami Al-Sheikh berkata, kakaknya, Malak yang terkorban dalam serangan berkenaan mahu menamakan adiknya itu sebagai Rouh, yang bermaksud roh dalam bahasa Arab.
“Gadis kecil Malak sangat gembira menantikan adik perempuannya lahir ke dunia, namun malangnya dia tidak sempat meraikannya kerana turut terkorban dalam serangan Israel,” katanya.
Menurut Muhammed, bayi perempuan itu akan tinggal selama tiga hingga empat minggu di hospital berkenaan.
“Selepas itu, kita akan mempertimbangkan siapa ahli keluarga yang akan menjaganya, sama ada ibu saudara, bapa saudara atau datuk serta neneknya.
“Ini adalah tragedi yang amat mengerikan di Rafah, yang bukan lagi asing kepada kekejaman. Walaupun anak ini terselamat, dia dilahirkan sebagai anak yatim,” katanya.
Menurut pegawai kesihatan Palestin, serangan semalaman tanpa henti di kawasan kediaman di Rafah membunuh 22 orang termasuk 18 kanak-kanak.
Bedilan bom di dua buah rumah itu turut mengorbankan 13 kanak-kanak daripada satu keluarga milik Abdel Aal.
Saqr Abdel Aal berkata, beliau sedih kerana semua ahli keluarganya meninggal dunia akibat serangan berkenaan.
“Lihatlah semua yang meninggal dunia adalah wanita dan kanak-kanak. Seluruh identiti saya telah dihapuskan, bersama isteri, anak-anak dan semua orang,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohammad al-Behairi berkata, anak perempuan dan cucunya masih tertimbus di bawah runtuhan.
“Saya berasa sedih dan tertekan. Saya tidak mempunyai apa-apa lagi dalam hidup ini untuk ditangisi.
“Apakah perasaan yang akan kita miliki apabila kehilangan anak dan orang tersayang? Bagaimana perasaan anda?” soalnya. – REUTERS










