AS dakwa keanggotaan dalam PBB tak bantu penubuhan negara Palestin

AS dakwa keanggotaan dalam PBB tak bantu penubuhan negara Palestin

LINDA THOMAS-GREENFIELD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Linda Thomas-Greenfield mendakwa resolusi yang mengesyorkan Pihak Berkuasa Palestin menjadi anggota penuh badan dunia itu tidak akan membantu membawa kepada penyelesaian dua negara konflik Israel-Palestin.

Thomas-Greenfield membuat komen itu pada sidang akhbar di Seoul, selepas ditanya sama ada AS terbuka untuk mengiktiraf permintaan Pihak Berkuasa Palestin untuk memiliki keahlian penuh PBB.

“Kami tidak melihat bahawa membuat resolusi dalam Majlis Keselamatan semestinya akan membawa kita kepada penyelesaian dua negara untuk bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata, Presiden AS, Joe Biden dengan tegas mengatakan bahawa Washington menyokong penyelesaian dua negara dan sedang berusaha di lapangan untuk menyediakannya secepat mungkin.

Pihak Berkuasa Palestin dijangka mendesak Majlis Keselamatan 15 anggota untuk mengundi esok mengenai draf resolusi yang mengesyorkan ia menjadi ahli penuh badan dunia itu. 

Anggota Majlis Keselamatan Algeria dilaporkan mengedarkan draf teks tersebut lewat petang kelmarin.

Desakan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB dibuat selepas enam bulan berdepan peperangan  dengan Israel di Gaza, dan ketika rejim Zionis memperluaskan penempatan di Tebing Barat yang diduduki.

Jawatankuasa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang mempertimbangkan permohonan Pihak Berkuasa Palestin untuk menjadi anggota penuh PBB memaklumkan tidak dapat membuat syor sebulat suara sama ada tuntutan itu sudah memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Palestin kini adalah negara pemerhati bukan ahli, pengiktirafan de facto terhadap kenegaraan itu diberikan dalam Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai oleh 193 anggota pada 2012.

Permohonan untuk menjadi ahli penuh PBB perlu diluluskan oleh UNSC dan mendapat sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 193 anggota Perhimpunan Agung di mana AS boleh menggunakan kuasa vetonya.

AS pada awal bulan lalu berkata, penubuhan negara Palestin yang merdeka harus dilakukan melalui rundingan terus antara kedua-dua pihak dan bukannya di PBB.

Majlis Keselamatan PBB sudah lama menyokong visi dua negara yang tinggal bersebelahan dalam sempadan yang selamat dan diiktiraf.

Rakyat Palestin mahukan sebuah negara di Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur dan Semenanjung Gaza, namun semua wilayah itu ditawan Israel pada 1967.

Hanya sedikit kemajuan dapat dilihat dalam mencapai kenegaraan Palestin sejak menandatangani Perjanjian Oslo antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin pada awal 1990-an.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×