KABUL: Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dan lebih 27 lagi cedera selepas hujan lebat dan banjir kilat selama tiga hari melanda Afghanistan, menurut jabatan pengurusan bencana kerajaan.
Jurucakap jabatan tersebut, Janan Sayeq berkata, lebih 600 kediaman musnah dengan kebanyakan mangsa maut akibat dihempap bumbung rumah.
“Sejak Jumaat lalu, berlaku banjir kilat yang disebabkan hujan lebat tanpa henti, menyebabkan kerugian manusia dan kewangan yang tinggi.
“Lebih 200 ternakan musnah dan sekitar 800 hektar tanah pertanian dinaiki air dengan kawasan jalan raya sepanjang hampir 600 kilometer turut rosak teruk akibat bencana alam ini,” katanya dipetik Al Jazeera.
Sebanyak 20 daripada 34 wilayah negara itu dilanda hujan lebat yang menyusuli musim sejuk luar biasa kering, memaksa ramai petani menangguhkan penanaman mereka selama beberapa bulan.
Menurut Janan, Farah barat, Herat, selatan Zabul dan Kandahar adalah antara wilayah yang terjejas teruk dan mengalami banyak kerosakan infrastruktur.
Pihak berkuasa memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang di kebanyakan wilayah.
Sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021, aliran bantuan asing berkurangan secara drastik dan Afghanistan kini berada dalam kalangan negara yang paling kurang bersedia untuk menghadapi perubahan iklim.










