UNICEF bimbang peningkatan kematian kanak-kanak di Gaza

UNICEF bimbang peningkatan kematian kanak-kanak di Gaza

gaza
KANAK-kanak Palestin berjalan di kawasan runtuhan masjid dan kem perlindungan sementara yang musnah di Deir al-Balah di tengah Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran mengenai peningkatan besar kematian kanak-kanak di Semenanjung Gaza akibat serangan dan pengepungan berterusan Israel di wilayah itu.

Lapor agensi berita Anadolu, sekurang-kurangnya 15 kanak-kanak Palestin meninggal dunia akibat dehidrasi dan kekurangan zat makanan di Hospital Kamal Adwan di utara Semenanjung Gaza ketika Israel mengetatkan sekatan yang melumpuhkan di kawasan itu.

“Kemungkinan lebih ramai kanak-kanak sedang bertarung nyawa di banyak kawasan lain dan beberapa lagi hospital yang masih beroperasi di Gaza, malah semakin ramai anak-anak kecil di utara yang tidak mendapat penjagaan sama sekali.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kematian tragis dan ngeri ini adalah buatan manusia, boleh diramal dan boleh dicegah sepenuhnya,” kata Pengarah UNICEF Asia Barat dan Afrika Utara, Adele Khodr.

Khodr berkata, kekurangan makanan berkhasiat, air bersih dan perkhidmatan perubatan meluas di Gaza adalah akibat langsung daripada halangan akses dan pelbagai bahaya yang dihadapi oleh operasi kemanusiaan PBB.

Menurut beliau, hampir 16 peratus atau satu daripada enam kanak-kanak di bawah umur dua tahun kini mengalami kekurangan zat makanan akut di utara Gaza.

“Kini, kematian kanak-kanak yang kami khuatiri sudah berada di sini dan berkemungkinan meningkat dengan cepat melainkan perang berakhir dan halangan kepada bantuan kemanusiaan segera diselesaikan,” tegasnya. 

Khodr turut menyeru agar agensi bantuan kemanusiaan dibenarkan memasuki Gaza dari semua lintasan termasuk ke utara willayah itu yang kini menghampiri krisis kebuluran terburuk.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 30,410 rakyat Palestin terbunuh dan 71,700 cedera dalam pembunuhan beramai-ramai Israel yang berterusan sejak 7 Oktober lalu.

Sekurang-kurangnya 7,000 orang tidak dapat dikesan dan dianggap maut di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh wilayah itu.

Pencerobohan Israel juga mengakibatkan hampir dua juta orang dipindahkan secara paksa dari seluruh Semenanjung Gaza, dengan sebahagian besar pelarian terpaksa masuk ke bandar selatan Rafah yang padat berhampiran sempadan Mesir.

Jumlah pelarian itu disifatkan penghijrahan paksa beramai-ramai yang terbesar di Palestin sejak peristiwa Nakba 1948.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×