WASHINGTON: Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) menyerang dan memusnahkan peluru berpandu darat ke udara milik Houthi di Yaman selepas menganggap menimbulkan ancaman kepada pesawat AS.
Perkara itu dimaklumkan oleh Komando Pusat tentera Amerika Syarikat (Centcom) dalam satu kenyataan.
Kumpulan Houthi yang disokong Iran, menyerang kapal di Laut Merah sejak November tahun lalu sebagai solidariti terhadap penduduk Palestin di Gaza di tengah-tengah konflik Israel-Hamas.
AS menerajui pakatan tentera laut untuk melindungi kapal-kapal di laluan perairan penting global itu, selain turut melancarkan serangan udara di wilayah Houthi.
Menurut Centcom, tentera AS melakukan serangan `mempertahankan diri’ terhadap sebuah peluru berpandu darat ke udara Houthi, yang bersiap sedia untuk dilancarkan.
Jelas Centcom, pihaknya menganggap peluru berpandu itu menimbulkan ancaman kepada pesawat AS di rantau tersebut.
Centcom memaklumkan pihak Houthi melancarkan serangan peluru berpandu ke kawasan Laut Merah, bagaimanapun tiada kesan atau kerosakan berlaku pada mana-mana kapal.
Minggu lalu, tentera AS dan Britain melancarkan serangan ke atas 18 sasaran Houthi di lapan lokasi di Yaman termasuk kemudahan penyimpanan senjata, dron serangan, sistem pertahanan udara, radar dan helikopter.
Menurut agensi berita rasmi Houthi, seorang terbunuh, manakala lapan lagi tercedera dalam serangan terbabit. – AFP










