Rundingan gencatan senjata Gaza di Kaherah

Rundingan gencatan senjata Gaza di Kaherah

gaza
SEORANG budak lelaki Palestin mengangkut bekas air di atas kerusi roda di sepanjang jalan di Kota Gaza pada 3 Mac lalu. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Para delegasi di Kaherah sekali lagi menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera di Gaza.

Namun, konflik antara tentera Israel dan pejuang Hamas masih berterusan di wilayah Palestin yang kini berdepan kekurangan bekalan makanan.

Delegasi dari Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Hamas berada di Kaherah dalam usaha terbaharu ke arah mencapai kesepakatan gencatan senjata selama enam minggu, meningkatkan penghantaran bantuan dan pertukaran tebusan untuk tahanan Palestin. 

Matlamat delegasi berkenaan adalah untuk mendapatkan gencatan senjata menjelang permulaan bulan Ramadan.

Namun, beberapa perkara tidak mungkin mencapai persetujuan termasuk tuntutan Hamas agar tentera Israel berundur sepenuhnya dari Semenanjung Gaza selepas hampir lima bulan melancarkan peperangan yang dahsyat.       

Berdasarkan laporan sebuah akhbar Israel, rejim Zionis itu memboikot rundingan gencatan senjata di Kaherah selepas Hamas menolak tuntutannya yang meminta senarai lengkap nama tebusan yang masih hidup.

Delegasi Hamas yang tiba untuk rundingan di Kaherah, disifatkan sebagai halangan terakhir bagi mencapai persetujuan menghentikan perang selama enam minggu.

Bagaimanapun, Ynet yang merupakan portal dalam talian bagi akhbar Israel, Yedioth Ahronoth melaporkan tiada delegasi Israel yang hadir pada rundingan di Kaherah itu.

Kelmarin, sumber Hamas memberitahu delegasi kumpulannya ke Kaherah diketuai oleh pemimpin kanan, Khalil Al-Haya.

“Delegasi itu akan bertemu dengan pengantara Mesir dan menyampaikan maklum balas kumpulan berkenaan terhadap cadangan baharu Paris,” kata sumber itu dengan merujuk rundingan diadakan bulan lalu di ibu negara Perancis dengan kehadiran wakil Israel.

Di Riyadh, menteri luar Arab Saudi menekankan kepentingan mencapai gencatan senjata serta-merta dan memastikan keselamatan koridor bantuan untuk penghantaran bantuan kemanusiaan, makanan dan perubatan.

Sesi Majlis Menteri-Menteri Luar ke-159 diadakan di ibu pejabat Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Mesyuarat menteri bersama antara negara-negara GCC dan Mesir, Maghribi dan Jordan diadakan bagi mengukuhkan lagi kerjasama, selain membincangkan perkara berkaitan Gaza.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 30,410 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan berterusan Israel di Gaza. – AGENSI  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×