Prabowo gesa perpaduan selepas kemenangan besar Pilpres 2024

Prabowo gesa perpaduan selepas kemenangan besar Pilpres 2024

PRABOWO SUBIANTO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Prabowo Subianto  berikrar menjadi presiden untuk  semua rakyat Indonesia selepas keputusan rasmi menunjukkan beliau menyapu bersih pilihan raya yang diadakan bulan lalu.

Keputusan rasmi menunjukkan bekas komander pasukan khas dan menteri pertahanan semasa itu berjaya meraih 58.59 peratus undi, jauh meninggalkan pesaingnya Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang masing-masing menerima kira-kira 24.95 dan 16.47 peratus undian.

Prabowo, 72, mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan sukarelawan yang berkumpul di kediamannya di Jakarta Selatan dan berkata, pilihan raya kali ini berjalan lancar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mengajak semua rakyat Indonesia untuk melihat ke hadapan dalam perpaduan kerana cabaran kita masih besar,” katanya sambil berikrar untuk membasmi kemiskinan dan ketidakadilan.

Beliau turut berterima kasih kepada Presiden, Joko Widodo (Jokowi) dan menggelar dirinya kepada pengundi dan pelabur  sebagai ‘calon kesinambungan’ kepimpinan terdahulu. 

Prabowo turut mengulangi ikrar untuk menggunakan panduan dasar ekonomi Jokowi yang berjaya memodenkan infrastruktur, mengurangkan kerenah birokrasi, dan memberikan pertumbuhan serta kemakmuran bernilai trilion dolar dalam ekonomi negara G20 itu.

“Kita akan menggunakan asas kukuh yang dibina Jokowi terutama dalam sektor ekonomi untuk bekerja lebih gigih bagi membawa hasil secepat mungkin kepada rakyat Indonesia,” katanya.

Prabowo dijangka mengambil alih jawatan Jokowi pada Oktober ini.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken turut mengucapkan tahniah kepada Prabowo atas kemenangannya sambil memuji rakyat Indonesia atas kehadiran dan komitmen mereka yang teguh terhadap demokrasi serta kedaulatan undang-undang.

Anak lelaki Jokowi yang juga pasangan calon Prabowo, Gibran Rakabuming Raka bakal menjadi naib presiden termuda negara itu berikutan perubahan peraturan kelayakan pada saat akhir oleh mahkamah.

Anies dan Ganjar bagaimanapun mendakwa terdapat penyelewengan dan mempunyai tiga hari untuk membuat aduan kepada Mahkamah Perlembagaan yang mengendalikan pertikaian pilihan raya.

Pasukan kempen Prabowo berkata, pihaknya sedang menyediakan bukti dan sanggahan bagi cabaran undang-undang tersebut.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU)mengumumkan parti terbesar PDI-P menerima undi terbanyak dalam pilihan raya perundangan diikuti oleh Parti Golkar dan Parti Gerindra pimpinan Prabowo. REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini