GAZA: Pegawai kanan kumpulan pejuang Hamas berkata, harapan gencatan senjata segera dengan Israel semakin suram, menegaskan masih banyak lagi perjalanan yang perlu ditempuh sebelum perjanjian itu dapat dicapai.
“Jurang masih luas. Kami perlu membincangkan banyak perkara dengan pengantara,” kata Ketua Perhubungan Politik dan Antarabangsa Hamas, Basem Naim kepada Al Jazeera.
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata, beliau berharap untuk merealisasikan gencatan senjata dalam perang Israel ke atas Gaza Isnin depan dan mendakwa rundingan berjalan lancar.
Bagaimanapun, Basem berkata, sikap optimis pentadbiran Biden tidak selari dengan realiti di lapangan sebaliknya lebih tertumpu kepada pertimbangan politik domestik untuk mendapatkan sokongan dalam pilihan raya di AS.
“Jika AS mahu menjadi benar-benar optimistik, mereka perlu menamatkan permainan dwi standard mereka.
“Mereka bercakap di satu pihak untuk menghentikan pencerobohan atau mahu mencapai gencatan senjata dan mengelak meluaskan konflik di rantau ini.
“Tetapi pada masa yang sama mereka menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). Mereka juga meluluskan AS$14 bilion (RM66.63 bilion) untuk membekalkan Israel dengan lebih banyak peluru,” tegasnya.
Basem yang kini berada di Istanbul memaklumkan, Hamas masih belum menerima cadangan rasmi gencatan senjata tetapi meditator sedang bekerjasama dengan pihak Israel untuk mendapatkannya.
Menurut beliau, walaupun Hamas bersedia untuk lebih fleksibel dalam beberapa aspek perjanjian yang berpotensi tetapi pihaknya tidak akan berbuat demikian dengan mengorbankan matlamat strategik utama mereka.
Beliau berkata, tuntutan pihaknya yang tidak boleh dirundingkan lagi termasuk gencatan senjata muktamad dan menyeluruh yang bukan sekadar jeda kemanusiaan, pengunduran tentera Israel dari Gaza dan kebebasan bergerak untuk rakyat Palestin di wilayah itu
Tegasnya, Hamas hanya bersedia menjadi fleksibel berkenaan tempoh masa dan urutan tuntutannya sahaja, selagi gencatan senjata keseluruhan bermula pada hari pertama pelaksanaan mana-mana perjanjian.
“Berkenaan dengan pertukaran tawanan dan tebusan serta rancangan untuk pembinaan semula Gaza, ada sedikit ruang untuk fleksibiliti.
“Hamas sudah menunjukkan fleksibiliti yang besar dari awal untuk mencapai gencatan senjata kerana kita tahu setiap hari tambahan untuk kekejaman perang ini bermakna 100 hingga 150 lagi orang awam Palestin akan terbunuh.
“Orang ramai di bahagian utara Gaza sedang mati kelaparan. Kami tahu dengan tepat apa maksudnya. Keluarga kami juga masih ramai yang terperangkap di sana,” katanya.










