GAZA CITY: Penduduk Palestin menyambut kedatangan Ramadan kali ini dalam suasana suram susulan konflik dan kebuluran yang masih berlarutan serta tindakan polis Israel meningkatkan langkah keselamatan.
Situasi itu menjejaskan kemeriahan sambutan bulan Ramadan di Gaza ketika rundingan untuk mendapatkan gencatan senjata terhenti.
Beribu-ribu polis dikerahkan di sekitar jalan-jalan di Kota Lama di Baitulmuqaddis, yang mana puluhan ribu jemaah dijangka memenuhi pekarangan Masjid Al-Aqsa setiap hari.
Namun, kawasan sama yang turut dianggap tempat suci dalam kalangan orang Yahudi itu menjadi titik awal masalah dan titik permulaan perang terakhir pada 2021 di antara Israel dan Hamas.
Konflik selama 10 hari itu membawa kepada perang semasa yang kini memasuki bulan keenam.
Serangan berterusan Israel di Gaza menyebabkan kebimbangan di seluruh dunia kerana risiko kebuluran semakin meningkat mengancam pertambahan jumlah kematian yang kini sudah melepasi 31,000 orang.
Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, hiasan biasa di sekitar Kota Lama tidak dipasang dan kini kesuraman sama di bandar-bandar di seluruh Tebing Barat yang diduduki, yang mana kira-kira 400 rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan atau peneroka Yahudi sejak permulaan perang Gaza.
“Kami memutuskan pada tahun ini Kota Lama Baitulmuqaddis tidak akan dihias sempena menghormati pertumpahan darah anak-anak kami dan orang tua dan syuhada,” kata pemimpin masyarakat, Ammar Sider.
Suasana suram juga dapat dilihat di bandar selatan Rafah yang menempatkan lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza.
Ramai tinggal bersesak-sesak termasuk di khemah plastik dan turut menghadapi kekurangan makanan yang teruk.
“Kami tidak membuat sebarang persiapan untuk menyambut Ramadan kerana sudah lima bulan kami berpuasa,” kata Maha, ibu kepada lima anak.
Kata Maha, biasanya pada bulan Ramadan, rumahnya meriah dengan hiasan dan peti sejuknya sentiasa dipenuhi dengan bahan untuk berbuka puasa.
“Kali ini, tiada makanan. Kami hanya ada beberapa makanan dalam tin dan nasi.
“Kebanyakan barangan makanan dijual pada harga yang tinggi,” katanya menerusi aplikasi sembang dari Rafah. – REUTERS










