PBB marah perang Gaza berterusan dalam Ramadan

PBB marah perang Gaza berterusan dalam Ramadan

PBB memberi amaran satu perempat daripada jumlah penduduk di Gaza berada di `ambang kebuluran'. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera di Gaza ketika umat Islam mula menunaikan ibadah puasa pada bulan suci Ramadan.

Guterres juga menggesa tebusan yang ditahan Hamas dibebaskan segera, selain menghapuskan semua sekatan bagi memastikan bantuan kemanusiaan dihantar pada kadar segera dan skala besar ke Gaza.

Sebelum ini, PBB memberi amaran kira-kira satu perempat daripada jumlah penduduk di Gaza berada di `ambang kebuluran’.

“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa sudah musnah, dan serangan Israel ke atas Rafah boleh memburukkan lagi keadaan penduduk Gaza,” katanya kepada pemberita.

Selepas rundingan gencatan senjata gagal dicapai, Guterres menggesa supaya `senjata tidak digunakan’ di Gaza.

Malah, beliau juga memberi amaran mengenai situasi `kebuluran dan malnutrisi’ yang sedang berlaku di wilayah Palestin itu.

“Ini meruntun hati saya, malah ia sememangnya tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya amat kecewa dan marah konflik ini masih berlarutan di Gaza semasa bulan suci ini,” katanya sambil menambah `semua sekatan’ ke atas penghantaran bantuan harus dihapuskan.

Sebelum ini, PBB memaklumkan kekurangan bantuan kemanusiaan bermakna kebuluran menjadi risiko besar di Gaza yang mana kira-kira 2.4 juta penduduk dikepung hampir sepenuhnya oleh tentera Israel.

Menurut Kementerian Kesihatan Hamas, lebih 31,000 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan berterusan Israel di Gaza sejak konflik meletus pada 7 Oktober tahun lalu.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menggesa pelaksanaan gencatan senjata sementara menjelang Ramadan namun gesaan itu dikatakan tidak diendahkan.

* MISI AIRDROP 

Sementara itu, penyiar awam Kan melaporkan Maghribi mula melaksanakan misi airdrop atau  menggugurkan bantuan kemanusiaan melalui udara di utara Gaza.

Menurut laporan itu, enam pesawat pengangkut Hercules milik Tentera Udara Diraja Maghribi, berlepas untuk menghantar bekalan bantuan kemanusiaan ke utara Gaza.

Ia sebahagian usaha antarabangsa bagi mengurangkan krisis kemanusiaan di wilayah itu.

Maghribi menyertai beberapa negara lain termasuk Jordan, Mesir, AS, Perancis, Belgium dan Belanda melaksanakan misi menggugurkan bantuan makanan dan bekalan melalui udara di Gaza.

Operasi Maghribi itu dijalankan di bawah arahan Raja Mohammed VI.

Ini adalah tanda muhibah Maghribi kepada penduduk Gaza semasa permulaan bulan suci Ramadan.

Israel dan Maghribi menjalin hubungan diplomatik sebagai sebahagian daripada Perjanjian Abraham, dengan Israel juga terlibat dalam perjanjian keselamatan dengan Maghribi.

Bagaimanapun, serangan Israel baru-baru ini terhadap rakyat Palestin di Gaza mencetuskan protes besar-besaran di Rabat, dengan puluhan ribu rakyat Maghribi menuntut hubungan diplomatik antara kedua-dua negara diputuskan.

Menurut laporan penyiar itu, bantuan kemanusiaan dari Maghribi menunjukkan komitmen kerajaan untuk membantu orang awam di Gaza.

Pengerusi Jawatankuasa Al-Quds, Raja Mohammed VI merupakan pemimpin barisan hadapan yang menuntut penyelesaian aman dan gencatan senjata dilakukan di Gaza. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×