GAZA: Pemimpin dunia dan pakar menyatakan keraguan tentang pelan untuk membawa keluar penduduk Palestin yang bersesak-sesak di selatan Gaza sebelum pencerobohan yang dirancang ke atas Rafah dan memberi amaran usaha tersebut hampir mustahil untuk dilakukan.
MISI MUSTAHIL
Kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza berada di hujung paling selatan wilayah itu yang disekat Laut Mediterranean di bahagian barat, sementara selatan dan timur sempadannya ditutup ketika tentera Israel bersedia menggempur dari utara.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertegas menghantar tentera ke Rafah untuk menumpaskan pejuang Hamas di kawasan yang bersempadan dengan Mesir dan Israel.
Tetapi Ahad lalu, Netanyahu berjanji membenarkan penduduk Gaza keluar dengan mengatakan, tenteranya tidak akan bertindak sebelum memastikan penduduk terperangkap di lokasi itu dipindahkan terlebih dahulu.
Israel, bagaimanapun masih kabur mengenai bagaimana atau bila pemindahan besar-besaran itu akan berlaku, satu cabaran yang dianggap sebagai ‘misi mustahil’ oleh pakar bantuan di wilayah yang musnah itu.
“Orang ramai tidak tahu ke mana hendak pergi. Tiada tempat selamat di Gaza,” kata Pakar Pelarian di Human Rights Watch (HRW), Nadia Hardman.
Sementara itu, Menteri Luar, Israel Katz masih mengelak untuk menjelaskan perancangan sebenar mereka di Rafah sebaliknya hanya memberitahu radio awam Kan, pihaknya akan memindahkan rakyat yang terkepung di kawasan itu sebelum sebarang operasi besar-besaran dilakukan.
“Bukan ke utara, tetapi ke barat. Ada negara Arab yang boleh membantu dengan mendirikan khemah atau sesuatu yang lain di kawasan kecil antara Rafah dan Mediterranean,” tambahnya.
Minggu lalu, jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari menyebut tentang penubuhan ‘pulau kemanusiaan’.
“Bandar khemah seperti itu di wilayah Gaza akan terhindar daripada pertempuran dan dicipta bersama masyarakat antarabangsa,” kata Hagari.
STRATEGI KABUR
Tetapi Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk wilayah Palestin, Jamie McGoldrick berkata, beliau tidak tahu di lokasi mana bandar seumpama itu sesuai diwujudkan di sebalik runtuhan di Gaza.
“Sejujurnya saya tidak tahu di mana ia sepatutnya ditubuhkan. Bagaimana mereka mahu memindahkan jutaan pelarian dari tempat yang mereka berada sekarang? Adakah mereka akan ditolak, dipaksa, didorong secara paksa atau dinasihat berpindah?
“Itu bukan sesuatu yang akan sertai PBB kerana kami tidak akan menyokong mana-mana pemindahan secara paksa,” jelasnya.
Canselor Jerman, Olaf Scholz, dalam lawatan ke Israel Ahad lalu turut menyuarakan kebimbangan mengenai serangan Israel yang dirancang di Rafah.
“Logik ketenteraan adalah satu pertimbangan, tetapi ada logik kemanusiaan juga. Bagaimanakah lebih 1.5 juta orang harus dilindungi? Ke mana mereka harus pergi?” tegasnya.
Israel sebelum ini mengisytiharkan kawasan tertentu yang dilindungi ruang kemanusiaan terutamanya di Al-Mawasi, kawasan pantai di selatan wilayah antara bandar utama selatan Gaza iaitu Khan Younis serta Rafah.
Tetapi ratusan ribu orang berteduh di khemah perlindungan di kawasan berkenaan sudah beberapa kali dibom rejim Zionis sejak perang bermula lebih lima bulan lalu.
Netanyahu turut menggandakan rancangan untuk menyerang Rafah yang diumumkan sejak sebulan lalu dan langsung tidak menghiraukan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadapnya untuk menghentikan pelan kejam itu terutama ketika bulan Ramadan.
Menurut Pakar Asia Barat Yayasan Jean-Jaures, David Khalfa, ancaman itu juga melibatkan peperangan psikologi.
“Orang Israel mengekalkan kekaburan strategik di sekitar rancangan mereka kerana mahu memastikan Hamas dalam keadaan tidak menentu,” katanya.
Khalfa menggelar ancaman serangan besar di Rafah sebagai taktik untuk memaksa Hamas melembutkan kedudukan mereka dalam rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung.-AFP











