BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau tidak akan menghantar delegasi ke Washington seperti yang dirancang sebelum ini selepas Amerika Syarikat (AS) mengelak daripada memveto cadangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata di Gaza.
Netanyahu mendakwa kegagalan Washington untuk menyekat cadangan itu adalah pengunduran yang jelas daripada kedudukan mereka sebelum ini dan boleh menjejaskan perang terhadap Hamas serta usaha membebaskan lebih 130 tebusan yang masih ditawan di Gaza.
“Memandangkan perubahan dalam kedudukan AS, Netanyahu memutuskan delegasi tidak akan pergi ke Washington,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan.
UNSC mengundi untuk menuntut gencatan senjata segera antara Israel dan Hamas serta pembebasan serta-merta tanpa syarat semua tebusan.
AS memilih untuk berkecuali dalam pengundian tersebut dan White House menafikan keputusan yang diambil mencerminkan perubahan dalam dasar negara itu.
Delegasi peringkat tinggi Israel dijadualkan melawat Washington untuk membincangkan operasi ketenteraan yang dirancang di bandar Rafah di selatan Gaza di mana lebih sejuta rakyat Palestin berlindung.
Jurucakap Keselamatan Negara White House, John Kirby turut mengemukakan pertanyaan mengenai keputusan Israel untuk menarik diri daripada mesyuarat minggu ini seperti yang diumumkan pejabat Netanyahu.
Kirby berkata, keputusan itu amat mengecewakan tetapi AS akan mengemukakan kebimbangannya mengenai dasar Israel sebagai sebahagian daripada perbincangan berterusan antara kedua-duanya.
“Ia mengecewakan. Kami sangat kecewa mengetahui mereka tidak akan datang ke Washington bagi membenarkan kami mengadakan perbualan penuh tentang alternatif yang berdaya maju kepada mereka yang akan turun di Rafah.
“Tiada apa-apa yang berubah tentang pandangan kami bahawa serangan darat besar-besaran di Rafah akan menjadi satu kesilapan besar,” kata Kirby.
Jelas beliau, perbincangan antara Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant; Penasihat Keselamatan Negara, Jake Sullivan; Setiausaha Negara, Antony Blinken bersama beberapa pegawai lain akan merangkumi perkara sama yang dirancang oleh pasukan AS dengan delegasi tersebut.
Di Israel, Ketua Pembangkang Parlimen, Yair Lapid menuduh Netanyahu cuba mengalihkan perhatian daripada perpecahan dalam gabungannya berhubung rang undang-undang kerahan tenaga tentera dengan mengorbankan hubungan baik bersama AS.
“Ia adalah sikap tidak bertanggungjawab yang mengejutkan daripada seorang perdana menteri yang sudah kehilangan arah,” tulis Lapid di platform media sosial X.-REUTERS










