AUSTIN: Duchess of Sussex, Meghan Markle mengkritik sikap toksik yang tidak berkesudahan di media sosial, malah mendedahkan beliau turut menjadi mangsa buli dan penderaan siber semasa mengandungkan dua anaknya, Archie dan Lilibet.
Meghan meluahkan perkara itu ketika menjadi penceramah utama bersama senarai panel berprofil tinggi dalam forum khas sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada festival tahunan SXSW di Austin, Texas.
Lapor BBC, suaminya, Putera Harry turut berada di barisan hadapan penonton dalam acara tersebut.
Beliau mengakui kini memilih untuk menjauhkan diri daripada komen sedemikian demi menjaga kesejahteraan dan kesihatan mentalnya.
Meghan menegaskan, orang ramai kini semakin melupakan nilai-nilai kemanusiaan ketika memberi komen di media sosial atau mengendalikan sfera digital lalin.
“Kebanyakan kes buli dan penderaan yang saya alami di media sosial serta dalam talian adalah semasa saya mengandungkan Archie dan Lili.
“Saya banyak berfikir tentangnya dan benar-benar tertanya mengapa orang menjadi begitu benci. Ia bukan sahaja menyakitkan tetapi kejam.
“Saya fikir itulah bahagian besar bear-benar hilang sekarang melihatkan apa yang berlaku dalam ruang digital dan bahagian media tertentu. Kita sudah melupakan nilai kemanusiaan kita dan itu perlu diubah segera,” katanya.
Bekas pelakon siri drama popular Suits berusia 42 tahun itu juga membincangkan isu-isu dari kepentingan perwakilan yang pelbagai kepada penggambaran keibuan dalam filem serta hiburan.
Meghan turut mengecam sikap menjengkelkan yang banyak dipamerkan golongan wanita sendiri di media sosial yang menyerang dan mengaibkan wanita lain.
“Ia sangat mengganggu melihat wanita memuntahkan kebencian antara satu sama lain dalam talian. Saya tidak dapat memahaminya.










