ISLAMABAD: Mahkamah Agung Pakistan memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri, Zulfikar Ali Bhutto yang dihukum gantung 44 tahun lalu selepas disabitkan kesalahan membunuh, tidak mendapat perbicaraan yang adil.
Zulfikar yang merupakan pengasas Parti Rakyat Pakistan (PPP) dihukum gantung pada tahun 1979 selepas perbicaraan di bawah rejim tentera, Jeneral Zia-ul-Haq.
Dilaporkan, PPP kini dikendalikan oleh cucunya yang merupakan bekas menteri luar, Bilawal Bhutto Zardari.
“Kami tidak mendapati bahawa perbicaraan yang adil dan keperluan proses yang sewajarnya dipenuhi,” kata Ketua Hakim Negara, Qazi Faez Isa menerusi kenyataan yang disiarkan secara langsung.
Jelas beliau, keputusan itu dibuat secara sebulat suara membabitkan sembilan orang hakim yang diketuai beliau sendiri.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menerusi satu kenyataan menyambut baik keputusan tersebut.
Keputusan mahkamah itu dibuat sebagai tindak balas kepada rujukan kehakiman yang difailkan oleh bapa Bhutto Zardari, Asif Ali Zardari semasa memegang jawatan sebagai presiden pada 2011.
Beliau meminta pendapat mahkamah tertinggi untuk mengkaji semula hukuman mati yang diberikan kepada pengasas PPP itu.
“Keluarga kami menunggu tiga generasi untuk mendengar kata-kata ini,” kata Bhutto Zardari dalam catatan di aplikasi X.
Mahkamah akan mengeluarkan perintah terperinci kemudian.
Sementara itu, pengulas politik berpangkalan di London, Yousuf Nazar menyifatkan keputusan tersebut merupakan pengakuan kecuaian keadilan yang besar di bawah rejim undang-undang tentera Zia-ul-Haq.
Yousuf adalah pembantu rapat bekas perdana menteri, Benazir Bhutto iaitu anak perempuan Benazir Bhutto yang dibunuh pada tahun 2007.
Jelas Yousuf, rejim itu juga mendorong negara Islam konservatif ke dalam ekstremisme, dengan menyokong kumpulan tertentu untuk memerangi perang sebagai proksi Amerika Syarikat (AS) terhadap Kesatuan Soviet ketika itu di Afghanistan.
“Ia membawa kepada tahap sokongan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan naungan pelampau di peringkat negeri,” katanya.
Beberapa kumpulan hak asasi manusia mendakwa pemerintahan diktator Zia-ul-Haq selama 11 tahun dilabel dengan serangan terhadap demokrasi, penganiayaan dan pemenjaraan kakitangan PPP dan sebatan awam terhadap penentang dan pengkritik. – REUTERS










