SEOUL: Korea Selatan menggantung lesen perubatan dua doktor dalam tindakan punitif pertama ke atas mogok selama sebulan yang menyebabkan kekacauan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara itu.
Dua pegawai dari Persatuan Perubatan Korea (KMA) dimaklumkan lesen mereka terpaksa digantung selama tiga bulan kerana mencetuskan mogok.
“Kedua-dua pegawai itu, Kim Taek-woo dan Park Myung-ha menerima notis itu semalam,” kata jurucakap KMA, Lee Seok Young.
Jurucakap kementerian kesihatan memberitahu, kerajaan tidak akan memberikan pengesahan mengenai tindakan pentadbiran khusus yang diambil terhadap doktor berkenaan.
KMA sebelum ini menuduh kerajaan menggunakan taktik intimidasi untuk cuba memaksa doktor kembali bekerja dan berkata ia mengubah negara itu menjadi totalitarian.
Di bawah undang-undang Korea Selatan, doktor dilarang mogok dan kerajaan sudah meminta polis menyiasat individu disebalik perletakan jawatan beramai-ramai termasuk pegawai di KMA.
“Kerajaan amat kesal dengan keadaan semasa di mana profesor juga sedang mempertimbangkan untuk meletak jawatan mengikut jejak doktor pelatih.
“Sekali lagi, kerajaan bersedia untuk berbincang dengan komuniti perubatan pada bila-bila masa tanpa syarat walaupun Seoul sudah menekankan bahawa meninggalkan pelan pembaharuan bukan satu pilihan,” kata Timbalan Menteri Kesihatan, Park Min Soo.
Seoul mendesak untuk memasukkan 2,000 lagi pelajar ke sekolah perubatan setiap tahun mulai tahun depan bagi menangani nisbah doktor kepada penduduk terendah dalam kalangan negara maju.
Beribu-ribu doktor pelatih berhenti kerja pada 20 Februari lalu bagi membantah reformasi tersebut, memaksa hospital membatalkan rawatan dan pembedahan penting termasuk kemoterapi dan Caesarean.
Kerajaan berkali-kali menggesa doktor berkenaan untuk kembali membantu pesakit, memberi amaran tindakan undang-undang akan dikenakan tetapi kebuntuan semakin berlarutan apabila doktor kanan kini mengancam untuk menyertai mogok tersebut.
Doktor terbabit bimbang pembaharuan yang dilakukan kerajaan akan menghakis kualiti perkhidmatan dan pendidikan perubatan, tetapi penyokong rancangan itu menuduh mereka hanya cuba melindungi gaji dan status sosial mereka.-AFP










