Israel lancar serangan udara sasar 212 sekolah di Gaza

Israel lancar serangan udara sasar 212 sekolah di Gaza

SEORANG kanak-kanak perempuan berjalan melalui sekolah yang musnah di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Analisis terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan tentera Israel melakukan serangan terancang terhadap lebih 212 sekolah sejak pengeboman sengit ke atas Gaza tercetus Oktober tahun lalu.

Menurut laporan oleh Tabung Kanak-Kanak PBB, (UNICEF) dan Pertubuhan Kluster Pendidikan dan Selamatkan Kanak-kanak, imej satelit menunjukkan sekurang-kurangnya 53 sekolah musnah sepenuhnya sejak konflik meletus dengan hampir sembilan peratus peningkatan serangan ke atas premis tersebut sejak pertengahan Februari lalu.

“Trend serangan yang tinggi ke atas kemudahan sekolah memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah sedia teruk di Gaza di tengah-tengah serangan berterusan Israel dari udara, darat dan laut merentasi sebahagian besar Semenanjung Gaza.

“Daripada 563 bangunan sekolah di Gaza, 165 daripada 212 yang menerima serangan langsung berada di kawasan yang ditetapkan untuk pemindahan oleh tentera Israel.

“Ini termasuk 62 sekolah di wilayah selatan Khan Younis dan 76 daripada 94 sekolah di wilayah utara Gaza,” jelas laporan itu.

Kira-kira 57 peratus premis sekolah yang dikendalikan oleh Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan ratusan bangunan kerajaan turut menjadi sasaran serangan udara atau operasi darat Israel.

“Tiada pendidikan dapat dilaksanakan sama sekali di Gaza selama hampir enam bulan,” kata UNRWA selepas penerbitan laporan rakan kongsi PBB menunjukkan lebih 625,00 pelajar dan 22,000 guru menghadiri sekolah sebelum serangan bermula.

Penemuan tambahan yang diperoleh daripada imej satelit dan sumber lain turut menyediakan bukti kukuh Pasukan Keselamatan Israel (ISF) menggunakan sekolah sebagai markas misi ketenteraan rejim Zionis sejak permulaan perang.

Ini termasuk beberapa laporan, gambar dan video yang menunjukkan sekolah digunakan oleh ISF sebagai tahanan, pusat soal siasat dan pangkalan tentera.

Gambar satelit dalam laporan itu juga menunjukkan kehadiran kereta kebal tentera, kesan laluannya dan kawah besar akibat bedilan bom di kawasan sekolah sejak Februari lalu.

Laporan yang disokong PBB itu juga menyatakan lebih 320 bangunan sekolah digunakan sebagai tempat perlindungan penduduk yang dipindahkan.

“Daripada jumlah keseluruhan kemudahan itu, 188 buah sekolah musnah teruk atau rosak.

“Sebaik konflik berakhir, sekurang-kurangnya 67 peratus sekolah di Gaza memerlukan pembinaan semula sepenuhnya atau kerja pemulihan besar untuk kembali berfungsi semula,” kata pengarang laporan itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×