LA PAZ: Hujan lebat yang melanda ibu kota Bolivia menyebabkan pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di negara itu.
Satu dokumen kerajaan menyatakan mengenai pengisytiharan darurat itu.
Perintah darurat itu diisytiharkan selepas limpahan air sungai memusnahkan sebahagian besar rumah di La Paz sejak minggu lalu.
Menurut dokumen kerajaan, Presiden Bolivia, Luis Arce berikrar untuk mengerahkan kira-kira 3,000 tentera dan jentera berat untuk mengelakkan kerosakan selanjutnya.
Hujan lebat menyebabkan banjir di beberapa kawasan kejiranan di bandar itu sehingga bekalan elektrik, air dan akses jalan raya terputus.
“Kami amat bimbang dengan situasi sukar yang sedang dilalui oleh majlis perbandaran di La Paz, kata Arce dalam catatan di platform media sosial X.
Setakat ini, sekurang-kurangnya seorang penduduk dilaporkan meninggal dunia akibat banjir di La Paz.
Berdasarkan data rasmi, kira-kira 50 orang maut dalam beberapa kejadian banjir di seluruh negara sejak musim hujan bermula pada Januari lalu. – REUTERS










