SEOUL: Korea Utara menghantar sebanyak 6,700 kontena yang membawa muatan berjuta-juta amunisi ke Russia sejak Julai tahun lalu bagi menyokong operasi ketenteraan Moscow di Ukraine.
Media Korea Selatan yang memetik kenyataan Menteri Pertahanan, Shin Won-sik melaporkan penghantaran itu dilihat sebagai tanda pemindahan senjata yang berterusan.
Won-sik dalam satu taklimat kepada media tempatan memaklumkan kontena tersebut mungkin membawa lebih tiga juta peluru artileri 152 milimeter (mm) atau 500,000 peluru 122mm.
“Ia mungkin gabungan antara kedua-duanya, anda boleh menjangkakan sekurang-kurangnya beberapa juta peluru sudah dihantar,” katanya sepertimana dilaporkan agensi berita Yonhap.
Jelas Won-sik, beratus-ratus kilang amunisi Korea Utara beroperasi sekitar 30 peratus daripada kapasiti mereka disebabkan kekurangan bahan mentah dan elektrik.
Namun, katanya, berdasarkan sumbernya, kilang yang mengeluarkan peluru meriam untuk Russia beroperasi dalam `kapasiti penuh’.
Seoul dan Washington menuduh Pyongyang dan Moscow melakukan perdagangan senjata, selain mengecam Korea Utara kerana membekalkan senjata kepada Russia yang digunakan untuk menentang Ukraine.
Kedua-dua negara itu menafikan dakwaan tersebut, meskipun sebelum ini berjanji untuk memperkukuhkan kerjasama ketenteraan.
Jumaat lalu, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dalam satu laporan mendakwa Korea Utara menghantar lebih 1,000 kontena peluru atau bahan berkaitan ke Russia sejak September lalu.
Sebagai pertukaran, Korea Utara menerima kira-kira 9,000 kontena yang kebanyakannya mengandungi bekalan makanan yang didakwa Won-sik membantu menstabilkan harga di negara itu.
Seorang pegawai di kementerian pertahanan Seoul memaklumkan pihaknya tidak dapat mengesahkan angka berkenaan.
Namun, pegawai itu yang memetik kenyataan Won-sik sebagai berkata, Russia sudah menghantar kira-kira 30 peratus lagi kontena ke Korea Utara sejak Julai lalu berbanding jumlah dihantar oleh Pyongyang.
Sementara itu, Won-sik memaklumkan Korea Utara mungkin boleh melancarkan sebuah lagi satelit seawal bulan depan memandangkan Moscow terus memberikan bantuan teknikal.
Selain itu, katanya, Pyongyang juga meminta bantuan pesawat dan teknologi peralatan pergerakan darat.
“Setakat ini, tidak dapat dipastikan berapa banyak akan diberikan oleh Russia, tetapi semakin banyak republik itu bergantung kepada peluru artileri Korea Utara, semakin besar tahap pemindahan teknologi Russia,” katanya. – REUTERS










