ISLAMABAD: Ketua Tentera Pakistan menggesa negara itu untuk tidak membangkitkan isu anarki dan polarisasi ketika dua bekas perdana menteri mengisytiharkan kemenangan dalam pilihan raya negara itu.
Lapor BBC, keputusan pilihan raya yang diadakan Khamis lalu menyaksi calon bebas yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Imran Khan memenangi kebanyakan kerusi.
Tetapi bekas Perdana Menteri tiga kali, Nawaz Sharif dalam ucapannya kepada penyokong di Lahore mendakwa parti pimpinannya, Liga Muslim Pakistan sebagai parti tunggal yang memenangi majoriti kerusi dan mahu membentuk kerajaan perpaduan selepas menghubungi parti-parti sekutunya.
Tanpa keputusan yang jelas, Jeneral Asim Munir menyeru semua pihak menunjukkan kematangan dan perpaduan dan menegaskan politik polarisasi tidak sesuai dengan negara progresif yang mempunyai 250 juta penduduk itu.
“Pilihan raya bukan pertandingan sifar untuk menang dan kalah tetapi latihan untuk menentukan mandat rakyat,” katanya.
Sebanyak 14 kerusi Dewan Undangan Negeri di wilayah Balochistan yang luas masih belum ditentukan tetapi Imran dan Nawaz masing-masing mendakwa parti mereka menang.
Sebuah parti memerlukan 169 kerusi di dewan rakyat yang mempunyai 336 anggota untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Keputusan 252 daripada 266 kerusi umum dalam Dewan Negara menunjukkan calon bebas yang disokong parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Imran mendahului dengan 100 kerusi, diikuti Liga Muslim Pakistan dengan 71, PPP 54, dan MQM 17.
Pengerusi PTI, Gohar Ali Khan berkata, parti itu akan cuba membentuk kerajaan dan menggesa penyokong membantah secara aman jika jika keputusan pilihan raya yang lengkap tidak dikeluarkan hari ini.










