APAD iktiraf Terminal 1 Seremban, hab pengangkutan gred A

APAD iktiraf Terminal 1 Seremban, hab pengangkutan gred A

ANTHONY Loke Siew Fook sewaktu beramah mesra dengan penumpang bas selepas Majlis Penyerahan Penarafan Terminal Gred A kepada Terminal 1 Seremban, di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Terminal 1 Seremban diiktiraf sebagai terminal Gred A oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), sekali gus membuktikan hab pengangkutan awam itu memenuhi piawaian tertinggi di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang moden, selamat dan bersepadu.

Katanya, penarafan tersebut membuktikan kesungguhan Kementerian Pengangkutan, APAD, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) serta pengendali terminal dalam memastikan kemudahan awam berkualiti demi keselesaan pengguna.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja memperkukuh keterhubungan mobiliti rakyat malah berupaya merangsang pembangunan ekonomi Negeri Sembilan secara menyeluruh,.

“Bukan semua terminal di negara ini memperoleh Gred A kerana penarafan dibuat berdasarkan keadaan dan kemudahan yang terdapat di setiap terminal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Penarafan Terminal Gred A kepada Terminal 1 Seremban, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, penaiktarafan di terminal itu bukan hanya memenuhi manifesto tetapi ia  merupakan pelaksanaan berterusan kerajaan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

“Terminal 1 merupakan antara projek ikonik di bawah MBS yang mencerminkan usaha mentransformasikan Seremban menjadi bandar raya moden dan inklusif dengan kemudahan awam yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, terminal tersebut yang dilesenkan APAD sejak 1 Ogos 2023 kini menjadi hab utama pengangkutan awam di Negeri Sembilan dengan menghubungkan perkhidmatan bas ekspres, bas henti-henti, BAS.MY, teksi serta mempunyai integrasi terus dengan Stesen Keretapi Seremban. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN