SHAH ALAM: Kerajaan negeri melaksanakan langkah segera bagi menyelesaikan isu banjir yang berlaku di Petaling Jaya dan ia dijangka disiapkan seawal November atau akhir tahun ini.
Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, pihaknya memberikan tumpuan terhadap tiga kawasan yang dikenal pasti kritikal iaitu di Seksyen 51A, Kampung Cempaka dan Terowong FAS Jalan PJU1A/4F.
Katanya, ia merupakan sebahagian daripada 12 kawasan yang disenarai untuk dilaksanakan langkah segera dan sederhana dengan keseluruhan kos sebanyak RM40.5 juta melibatkan 39 projek di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kita sudah luluskan di peringkat negeri pelaksanaan tiga jenis kategori untuk tebatan banjir melibatkan langkah segera dan langkah sederhana. Di Seksyen 51A (Medan Selera 223), langkah segera melibatkan lima projek termasuk membaiki dan menutup bahagian lompong pada dinding banjir Sungai Penchala sedia ada.
“Sementara di Kampung Cempaka terdapat projek tebatan banjir bernilai RM16 juta yang sedang berjalan. Dijangka siap pada Januari tahun hadapan. Lambat sikit sebab kita tukar asal guna screw pump tetapi tempat itu sempit, kita tukar kepada submersible pump.
“Di Jalan PJU1A/4F, di Terowong FAS, di situ terdapat masalah aliran balik (backflow). Air dari Sungai Penchala mengalir balik keluar. Jadi kita pasang flood gate bernilai RM400,000 yang akan dilaksanakan oleh MBPJ,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan lebih 8.3 juta penduduk di Lembah Klang bakal berdepan risiko banjir berterusan susulan kapasiti kolam takungan banjir di Kuala Lumpur kini hanya tinggal kira-kira 30 peratus daripada keluasan asal 114.5 hektar.
Kejadian terbaharu melibatkan Medan Selera 223 di Seksyen 51A, Petaling Jaya yang dilanda banjir kilat buat kali kelima dalam tempoh dua bulan.
Izham memberitahu, faktor utama seperti perubahan iklim yang menyumbang kepada masalah banjir terutama di kawasan tidak berlaku bencana sedemikian sebelum ini.
“Tak pernah kita dengar dulu hujan sampai 100 milimeter (mm), 80, 120 mm dalam satu-satu masa. Kadang-kadang lebat di Petaling Jaya, datang di Shah Alam tak hujan. Sangat luar biasa keadaannya dengan fenomena El Nino (sekarang),” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengatakan penggunaan kolam takungan sistem tahanan air di lapangan (OSD) antara penyelesaian inovatif dalam mengatasi masalah banjir di sesuatu kawasan.
“Ia diperlukan untuk menampung air banjir kilat sementara yang dicadangkan agar diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) atau JPS. Bukan lagi oleh swasta untuk melakukan penyelenggaraan.
“Penggunaan eco-block (teknologi Jerman) untuk OSD membolehkan penyimpanan air yang banyak dalam ruangan kecil serta penyelenggaraannya rendah (murah). Ia sebahagian daripada strategi penyimpanan air di sumber sebelum masuk ke sistem saliran,” ujarnya. – UTUSAN










