Kami tidak ada adik-beradik lelaki, Shaheizy Sam sangat membantu untuk jaga ayah - Syatilla Melvin - Utusan Malaysia

Kami tidak ada adik-beradik lelaki, Shaheizy Sam sangat membantu untuk jaga ayah – Syatilla Melvin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Syatilla Melvin mendedahkan keadaan kesihatan bapanya kini memerlukan pemantauan rapi selepas kanser darah (leukimia) yang dihidapinya mula melarat serta menjejaskan fungsi organ lain termasuk jantung dan buah pinggang.

Syatilla atau Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 35, berkata, masalah kesihatan bapanya bermula dengan leukemia sebelum penyakit berkenaan merebak sehingga menyebabkan fungsi jantung bapanya kini hanya tinggal 27 peratus sahaja, selain mengalami kecederaan buah pinggang.

Malah, Syatilla memaklumkan bahawa bapanya yang berusia 80 tahun itu baru sahaja dibenarkan keluar dari hospital beberapa hari lalu selepas pihak doktor menyerahkan jagaan sepenuhnya kepada keluarga.

“Mahu cakap baik itu tidaklah tetapi saya tidak putus-putus mendoakan supaya Allah mudahkan urusan. Insya-Allah sebab umur dia pun sudah 80 tahun.

“Jantung dia pun semakin lemah, tahap fungsi pula ketika ini hanya 27 peratus dan buah pinggang juga sudah lemah, memang banyak benda berkait-kait tetapi keadaannya ketika ini stabil.

“Sekarang ayah sudah keluar hospital dan berada di rumah, kami bawa pulang beberapa hari lalu. Doktor pun sudah tidak boleh buat apa-apa dan minta kami bawa pulang,” katanya.

Syatilla berkongsi perkara berkenaan semasa sidang media MR. DIY Club bersama duta Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin di Central Town, MyTown Shopping Centre, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pengurusan jagaan di rumah, Syatilla memberitahu bahawa kehadiran suaminya yang juga pelakon, Shaheizy Sam amat membantu memandangkan mereka tidak mempunyai adik-beradik lelaki.

“Sam sangat membantu sebab kami tidak ada adik-beradik lelaki. Jadi, memang mengharapkan menantu.

“Kalau macam ayah mahu pergi ke mana-mana atau ingin keluar ambil angin, kami perlukan kudrat lelaki untuk papah dan pegang dia. Apa pun, doakan yang baik-baik,” katanya.

Sebelum ini, ayah kepada Syatilla Melvin, Amirol Melvin Abdullah, telah dikejarkan ke hospital pada awal bulan Julai.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh pelakon berkenaan menerusi hantaran di media sosial bagi memohon doa orang ramai agar urusan rawatan bapanya dipermudahkan.

Dalam perkembangan lain, Syatilla Melvin dan Shaheizy Sam telah dilantik menjadi duta MR DIY Club yang mula dilancarkan hari ini.

Menerusi MR DIY Club, pelanggan kini boleh menikmati pelbagai ganjaran menarik setiap kali berbelanja di cawangan MR DIY berdekatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN