QUETTA: Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam dua letupan bom berasingan yang berlaku di luar pejabat calon pengundian di barat daya Pakistan.
Perkara itu dimaklumkan oleh pihak berkuasa menjelang pilihan raya yang dicemari oleh keganasan dan dakwaan penipuan dalam sistem pengundian.
Letupan pertama berlaku berhampiran pejabat calon bebas di daerah Pishin, kira-kira 50 kilometer (km) dari bandar Quetta dan 100km dari sempadan dengan Afghanistan.
Pemangku Menteri Penerangan wilayah Balochistan, Jan Achakzai dan polis Quetta mengesahkan 12 orang maut dan 25 lagi cedera dalam letupan tersebut.
Menurut Jan, letupan kedua pula berlaku berhampiran pejabat pilihan raya calon parti Jamiat Ulema-e-Islam-F (JUI-F) di bandar Killa Saifullah, kira-kira 120km timur.
“Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 12 lagi cedera dalam kejadian ini.
“Insiden itu berlaku di bazar utama kawasan bandar yang mana pejabat pilihan raya JUI-F menjadi sasaran,” kata pegawai polis kanan kepada AFP.
Pada Julai tahun lalu, sekurang-kurangnya 44 orang terbunuh selepas seorang pengebom berani mati bertindak menyerang sebuah perhimpunan parti politik JUI-F di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa. – AFP










