CARACAS: Sekurang-kurangnya 16 orang maut dan enam lagi cedera parah dalam nahas jalan raya membabitkan 17 kenderaan di lebuh raya di Venezuela.
Ketua Bomba, Juan Gonzalez berkata, jumlah kematian dalam kemalangan di lebuh raya Gran Mariscal de Ayacucho sehingga kini mencecah 16 orang.
Nahas itu dipercayai berlaku apabila sebuah trak yang dipandu laju merempuh barisan kereta yang terhenti kerana kemalangan kecil.
Timbalan Menteri Pengurusan Risiko dan Perlindungan Awam, Carlos Perez Ampueda berkata, jumlah kematian dalam insiden itu dijangka meningkat.
Imej api marak di tempat kejadian tular dalam media sosial.
“Kami mengawal semua kenderaan yang terbakar, termasuk sebuah bas yang terbakar sepenuhnya,” katanya.
Lebuh raya itu sedang menjalani kerja penggantian asfalt, yang melambatkan ketibaan perkhidmatan kecemasan. – AFP










