41 mangsa terowong diselamatkan, satu India bersorak gembira

41 mangsa terowong diselamatkan, satu India bersorak gembira

SEORANG daripada mangsa yang dikeluarkan bercakap dengan Ketua Menteri Uttarakhand,Pushkar Sing Dhami (kanan). - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SILKYARA: Ahli keluarga 41 pekerja yang terperangkap selama 17 hari di dalam terowong runtuh di Himalaya tidak dapat menahan sebak selepas melihat mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat malah misi tersebut turut mencetus sorakan kegembiraan di seluruh India.

Kesemua mangsa ditarik keluar menggunakan pengusung beroda melalui paip keluli selebar 90 sentimeter dengan keseluruhan proses selesai dalam masa kira-kira sejam.

Mangsa yang dipindahkan turut disambut dengan kalungan bunga dalam gaya tradisional India oleh Ketua Menteri, Pushkar Singh Dhami dan Timbalan Menteri Lebuh Raya, VK Singh.

Penduduk tempatan yang turut berkumpul di luar terowong dilihat bersorak, membakar mercun dan mengedarkan gula-gula sejurus semua mangsa berjaya keluar dengan selamat.

Ahli keluarga mangsa yang berkhemah di luar terowong masing-masing menangis kegembiraan selepas harapan untuk membawa mereka keluar berulang kali tergendala akibat serpihan yang jatuh dan kerosakan beberapa mesin penggerudian.

“Kami bersyukur kepada Tuhan dan penyelamat yang bekerja keras untuk menyelamatkan mereka,” kata abang kepada salah seorang mangsa, Naiyer Ahmad.

Perdana Menteri, Narendra Modi dilaporkan turut bercakap dengan mangsa yang diselamatkan melalui telefon dan bertanya tentang keadaan mereka.

“Saya ingin katakan kepada rakan-rakan yang terperangkap dalam terowong bahawa keberanian dan kesabaran anda memberi inspirasi kepada semua orang.

“Menjadi satu kepuasan dan kelegaan besar selepas penantian yang lama, rakan-rakan kita ini kini dapat kembali ke pangkuan keluarga mereka. Kesabaran dan keberanian yang ditunjukkan oleh mereka dalam masa yang sangat mencabar ini perlu dihargai,” kata Perdana Menteri, Narendra Modi di platform media sosial X.

Menteri Pengangkutan Jalan dan Lebuhraya, Nitin Gadkari mengucapkan terima kasih kepada pekerja penyelamat dan memaklumkan audit keselamatan terowong itu sedang dilakukan.

Agensi kerajaan yang menguruskan krisis pada Isnin lalu beralih kepada kumpulan pelombong untuk menggerudi melalui batu dan kerikil dengan tangan dari dalam paip pemindahan yang ditolak melalui serpihan selepas jentera gagal melakukannya.

Pihak berkuasa tidak menyatakan punca insiden tersebut tetapi wilayah itu diketahui sering terdedah kepada tanah runtuh, gempa bumi dan banjir. – REUTERS

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.