MALANG: Tragedi yang meragut ratusan nyawa di Stadium Kanjuruhan sudah setahun berlalu pada 1 Oktober 2022, namun sehingga kini, seorang daripada suspek, Pengarah Utama PT LIga Indonesia Baru, Akhmad Hadian Lukita masih bebas.
Akhmad merupakan satu-satunya suspek tragedi itu yang masih belum dibawa ke muka pengadilan sehingga kini.
Dia dilepaskan dari tahanan selepas polis Jawa Timur tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwanya.
Pejabat Pendakwa Raya Tinggi Jawa Timur kali terakhir membatalkan pendakwaan terhadap Akhmad pada 20 Disember 2022 berikutan tiada bukti kukuh.
Sejak itu, lelaki tersebut tidak pernah didakwa atau ditahan bagi membantu siasatan.
“Sehingga kini, tiada arahan untuk menahan Akhmad berhubung kes tersebut,” kata Ketua Pejabat Pendakwa Raya Tinggi Jawa Timur, Mia Amiati.
Dalam kes tersebut, Majlis Hakim Pengadilan Negeri Surabaya menilai Akhmad telah mengabaikan keselamatan orang ramai yang datang ke stadium untuk menyaksikan perlawan bola sepak pada 1 Oktober tahun lalu.
Terdahulu, dua pegawai bola sepak Indonesia dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan setahun oleh mahkamah Indonesia selepas didapati bertanggungjawab dalam Tragedi Stadium Kanjuruhan yang meragut lebih 135 nyawa dan mencederakan ratusan lain pada 1 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Kelab Arema FC, Abdul Haris dipenjara 18 bulan kerana bersalah dan cuai kerana menjual tiket melebihi kapasiti maksimum stadium, manakala Pengawal Keselamatan Kelab, Suko Sutrisno dipenjara setahun atas dakwaan kecuaian.
Sebelum ini, Siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia mendapati punca utama rempuhan itu disebabkan tindakan polis melepaskan 45 das tembakan gas pemedih mata ke arah orang ramai.
Dalam kejadian ketika perlawanan Liga Indonesia membabitkan kelab Arema FC dan Persebaya Surabaya, ratusan orang meluru ke pintu keluar yang sempit selepas terkena gas pemedih mata, sekali gus menyebabkan ada yang dipijak dan sesak nafas sehingga meninggal dunia.