AMMAN: Jordan membatalkan sidang kemuncak yang dijadualkan berlangsung di Amman hari ini dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden serta pemimpin Mesir dan Palestin berikutan serangan di hospital Gaza.
Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi berkata, mesyuarat itu hanya akan diadakan apabila semua pihak boleh bersetuju untuk menamatkan perang dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
Lapor Al Jazeera, Biden sebelum ini dijangka melakukan perjalanan ke Israel sebelum menuju ke Jordan dan bertemu Presiden Mesir, Abdel Fattah el Sisi dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Namun pegawai White House mengesahkan Biden kini hanya akan melawat Israel dan menangguhkan perjalanannya ke Jordan.
Raja Jordan, Raja Abdullah II merancang menjadi tuan rumah sidang kemuncak empat penjuru itu yang akan mempunyai agenda keperluan untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza selain mencegah malapetaka kemanusiaan berikutan konflik yang semakin memuncak.
Raja Abdullah II menyalahkan Israel atas letupan di hospital Gaza yang mengorbankan kira-kira 500 rakyat Palestin semalam dan menyifatkannya sebagai insiden memalukan malah menggesa Israel untuk segera menamatkan serangan tenteranya ke atas Gaza.