Usaha memartabatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak boleh lagi dilihat secara terpisah antara dasar dan pelaksanaan.
Jika TVET benar benar diangkat sebagai agenda nasional dan pemacu utama kebolehpasaran tenaga kerja, maka struktur institusi yang melaksanakannya juga perlu disusun semula secara lebih bersepadu dan strategik.
Dalam konteks ini, saya berpandangan Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS)wajar dinaik taraf kepada kolej universiti TVET, dengan semua institut latihan kemahiran di bawah ekosistem TVET digabungkan di bawah satu payung pendidikan tinggi yang tersusun dan selaras.
Langkah ini bukan sekadar perubahan status institusi, sebaliknya satu reformasi struktur yang penting untuk memastikan TVET berkembang secara mampan dan berimpak tinggi.
Malah, ia membolehkan penyelarasan kurikulum, standard akademik, pensijilan, latihan industri serta kerjasama strategik dengan pihak industri dilaksanakan secara lebih sistematik.
Sejak sekian lama, ILKBS dan rangkaian institut TVET lain telah melahirkan tenaga kerja mahir yang menjadi tulang belakang sektor industri, pembinaan, teknologi, hospitaliti dan perkhidmatan.
Namun, landskap TVET yang berpecah kepada pelbagai entiti dan pentadbiran berbeza mewujudkan kekangan dari segi laluan akademik, mobiliti pelajar dan pengiktirafan institusi.
Menaik taraf ILKBS kepada kolej universiti TVET serta menggabungkan semua institut latihan kemahiran di bawah satu sistem akan membuka ruang kepada penawaran program diploma lanjutan dan ijazah profesional.
Dalam masa sama, ia memberi laluan akademik lebih jelas dan tersusun kepada pelajar untuk meningkatkan kelayakan dan kepakaran mereka.
Langkah ini juga berpotensi mengubah persepsi masyarakat yang masih melihat pendidikan kemahiran sebagai pilihan kedua.
Peningkatan status dan penyatuan institusi TVET bagaimanapun perlu disertai pemerkasaan kurikulum, peningkatan kelayakan serta profesionalisme tenaga pengajar, autonomi akademik dan hala tuju jelas ke peringkat ijazah serta profesional.
Tanpa pendekatan menyeluruh ini, perubahan struktur berisiko menjadi kosmetik semata mata.
Jika negara serius mahu menjadikan TVET sebagai teras pembangunan ekonomi dan daya saing masa depan, maka institusi yang melaksanakannya juga mesti diangkat ke tahap sepadan dengan peranan strategiknya.
-Samsudin Oli Mohamed Bekas Presiden Alumni Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan Malaysia (ILKBS).










