Gangguan telekomunikasi `tutup' kekejaman Israel di Gaza 

Gangguan telekomunikasi `tutup’ kekejaman Israel di Gaza 

KEPULAN asap tebal akibat serangan Israel di utara Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Perkhidmatan telekomunikasi yang terputus di hampir seluruh Semenanjung Gaza di tengah-tengah serangan udara berterusan Israel ke atas wilayah Palestin, berisiko `menutup’ kekejaman besar-besaran yang sedang berlaku. 

Perkara itu dimaklumkan oleh penyelidik kanan teknologi dan aktivis hak asasi Human Rights Watch (HRW), Deborah Brown dalam satu kenyataan.

“Perkhidmatan internet dan telefon terputus sejak kelmarin di tengah-tengah serangan Israel sekali gus menghalang 2.2 juta penduduk Gaza berhubung dengan dunia luar.

“Situasi ini berisiko melindungi segala kekejaman besar-besaran yang dilakukan sekali gus menyumbang kepada pencabulan hak asasi manusia sewenang-wenangnya,” katanya.     

Sejumlah agensi antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memaklumkan mereka terputus hubungan dengan kakitangan mereka di Gaza termasuk Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA). 

Penyelaras kemanusiaan OCHA, Lynn Hastings menerusi kenyataan memaklumkan hospital Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan misi kemanusiaan tidak dapat diteruskan tanpa perkhidmatan komunikasi. 

“Situasi semakin buruk selepas ketiadaan bekalan elektrik, makanan, air dan ubat-ubatan,” katanya.

Selain itu, Amnesty International juga mengesahkan pihaknya terputus hubungan dengan rakan sekerja di Gaza.

“Gangguan pada telekomunikasi ini bermakna ia akan menjadi lebih sukar untuk mendapatkan maklumat penting dan bukti mengenai pencabulan hak asasi manusia dan jenayah perang yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza,” jelasnya.

Terdahulu, wartawan AFP yang membuat liputan berita di Gaza menyatakan mereka hanya boleh berkomunikasi di kawasan terhad, yang mana mereka hanya boleh berhubung dengan rangkaian Israel merentasi sempadan.

Akses internet dan rangkaian telefon terputus sepenuhnya di seluruh Semenanjung Gaza kelmarin, kira-kira tiga minggu selepas Israel melancarkan serangan udara di wilayah itu berikutan serangan mengejut Hamas. 

Kementerian kesihatan Gaza mengesahkan lebih 7,300 penduduk Palestin terbunuh sejak Israel melancarkan serangan udara ke atas wilayah itu.

Jelas kementerian, sebahagian besar mangsa terkorban merupakan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Al Jazeera melaporkan Kementerian Kesihatan memaklumkan sekurang-kurangnya 130 bayi pramatang memerlukan inkubator untuk terus bertahan ketika simpanan bahan api hampir kehabisan di semua hospital di Semenanjung Gaza.

Selain itu, jelas kementerian, sekurang-kurangnya 50,000 wanita hamil di Gaza juga tidak mendapat akses menerima rawatan sepatutnya dan 5,500 lagi menunggu masa untuk melahirkan bayi. 

* RESOLUSI GENCATAN SENJATA 

Dalam perkembangan lain, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menerima resolusi menyeru gencatan senjata atas dasar kemanusiaan dilaksanakan segera di Gaza.

Resolusi yang dikemukakan oleh Jordan bagi pihak negara Arab menerima sokongan majoriti yang besar.

Resolusi itu diluluskan dengan 120 undi menyokong, 14 membantah manakala 45 berkecuali.

Ia turut mengecam semua tindakan keganasan terhadap orang awam di Gaza dan Israel termasuk serangan yang dilakukan secara sewenang-wenangnya.

* PALESTIN SAMBUT BAIK   

Sementara itu, Presiden Palestin menyambut baik keputusan UNGA yang menerima resolusi gencatan senjata segera di Gaza.

Selain menyampaikan penghargaan kepada negara-negara yang menyokong resolusi itu, jurucakap Presiden Nabil Abu Rudeineh berkata, perkembangan itu mengesahkan sokongan majoriti dunia terhadap rakyat Palestin dan isu Palestin masih mendapat perhatian. – AFP/AGENSI   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya