OPR kekal sokong kestabilan sentimen pinjaman - Utusan Malaysia

OPR kekal sokong kestabilan sentimen pinjaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dilihat terus menyokong kestabilan sentimen pinjaman dalam kalangan pengguna dan perniagaan, menurut Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM).

Menurut ABM, kadar OPR yang kekal membantu peminjam merancang komitmen kewangan dengan lebih yakin kerana kos pinjaman tidak berubah secara mendadak.

“Ini amat penting khususnya bagi pembelian rumah, kenderaan, modal kerja serta pengembangan perniagaan. 

“Permintaan pembiayaan dijangka terus stabil pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh aktiviti ekonomi domestik, penggunaan isi rumah dan keperluan modal kerja syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

BNM mencatatkan pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan sebanyak 5.6 peratus pada Mac 2026, sama seperti Februari lalu. 

Pada masa sama, pinjaman perniagaan meningkat kepada 5.8 peratus berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya, didorong terutamanya oleh pembiayaan modal kerja.

ABM berkata, kadar semasa membantu mengurangkan tekanan tambahan terhadap aliran tunai peminjam, terutama mereka yang mempunyai pinjaman berkadar terapung.

Bagaimanapun, persatuan itu berkata, OPR bukan satu-satunya faktor yang mempengaruhi kos sara hidup.

“Harga makanan, tenaga dan kadar sewa serta turut memainkan peranan penting,” katanya.

Menyentuh mengenai kadar pinjaman dan deposit, ABM berkata keputusan untuk mengekalkan atau menyesuaikan kadar tersebut bergantung kepada penilaian setiap bank termasuk kos dana, persaingan pasaran dan profil risiko pelanggan.

Dalam pada itu, sektor perbankan melihat prospek ekonomi negara masih berdaya tahan meskipun kekal berhati-hati terhadap risiko inflasi susulan pergerakan harga komoditi, tenaga dan gangguan rantaian bekalan global.

BNM sebelum ini mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara empat hingga lima peratus pada 2026.

ABM berkata, permintaan pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menunjukkan peningkatan ketara sejak OPR dikekalkan beberapa mesyuarat berturut-turut.

Pada Mac 2026, bank-bank meluluskan pembiayaan melebihi RM14.2 bilion kepada perusahaan kecil, meningkat lebih 19 peratus berbanding bulan sebelumnya. 

Secara keseluruhan, lebih RM41.6 bilion pembiayaan telah diluluskan kepada perusahaan kecil bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Dalam mengimbangi pertumbuhan kredit dan risiko hutang isi rumah yang masih tinggi, ABM berkata, bank terus mengekalkan penilaian kemampuan pembayaran balik yang berhemah.

“Fokus bukan sekadar memberi pinjaman, tetapi memastikan pembiayaan diberikan secara bertanggungjawab,” katanya.

Selain itu, ABM berkata, antara sektor yang kini paling aktif mendapatkan pembiayaan ialah perdagangan borong dan runcit, pembuatan serta pembinaan, dengan pertumbuhan pinjaman perniagaan banyak disokong oleh keperluan modal kerja. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×