MAUI: Penduduk yang masih tinggal di dalam zon bencana di barat pulau Maui, mengadu kecewa dengan kekurangan saluran bantuan kerajaan dan kini hanya bergantung harap kepada badan sukarelawan sebagai talian hayat terakhir mereka.
Bencana kebakaran hutan terburuk yang melanda pulai di Hawaii itu mengorbankan lebih 93 nyawa namun angka kematian dijangka terus meningkat apabila musim kemarau dan taufan Dora menyukarkan usaha memadam api yang semakin marak.
Menurut Pegawai Yayasan Paus Pasifik, Kapten Emily Johnston yang mengendalikan bot Ocean Spirit milik badan amal pemuliharaan marin, beliau bertungkus-lumus setiap hari
dengan krew sukarelawannya menghantar bantuan kepada penduduk Maui yang terjejas akibat kebakaran hutan beberapa hari lalu.
Dari hari pertama bencana, Johnston dan pasukannya membawa bekalan makanan, air, bahan api dan pakaian ke bandar Lahaina yang musnah ketika komuniti sekitar kawasan itu meneruskan hidup tanpa bekalan elektrik dan talian telefon.
“Penduduk pulau-pulau ini melalui taufan, tsunami, kebakaran, segala-galanya tetapi kami perlu sangat berdikari kerana kami terpencil.
“Kami sering tertanya-tanya mengapa tiada bantuan dihantar dari Oahu? Penerbangan dari Pearl Harbor juga tidak jauh, hanya memakan masa selama 20 minit.
“Mengapa sumber polis yang terhad di pulau ini dibiarkan begitu sahaja, di mana sokongan untuk mereka? Mengapa kita mengambil bekalan dengan bot dan bukannya helikopter?,” tegas Johnston kepada BBC.
Kawasan di sepanjang pesisir pantai Maui turut terjejas teruk dengan hanya rumput dan pokok palma hangus dapat dilihat dengan sumber mata pencarian penduduk di bandar Lahaina dilaporkan musnah.
Majoriti sukarelawan yang terlibat dalam mengagihkan bantuan di pulau berkenaan merupakan penduduk tempatan termasuk Sergio Martinez, 36, yang menjadi mangsa insiden kebakaran hutan itu.
“Saya bertarung nyawa dengan anak lelaki saya berusia 4 tahun berpaut di tangan saya ketika kami melarikan diri masuk ke dalam air selama lebih lapan jam.
“Saya hampir putus asa ketika itu, tetapi anak lelaki saya membuat saya terus bertahan.
” Walaupun kami diselamatkan, kami kini terus bergelut untuk hidup. Tidak ada bantuan yang datang. Kami sedang menunggunya dan kami sangat memerlukannya,” katanya.
Pengarah Eksekutif Yayasan Paus Pasifik, Kristie Wrigglesworth berkata, sistem komunikasi yang terputus menyukarkan pihaknya menyalurkan bantuan dan hanya berharap kepada pesanan mulut ke mulut untuk menyampaikan permintaan bekalan segera kepada penduduk terjejas.