WASHINGTON: Pendakwaan terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilihat hanya menjadikan sokongan rakyat terhadapnya semakin kuat, malah anggota parti Republikan turut yakin beliau mampu mencipta perubahan besar dalam landskap politik negara itu.
KUKUHKAN SOKONGAN
Dakwaan jenayah keempat Trump menimbulkan persoalan baharu mengenai landskap politik di AS, tetapi penganalisis berkata, kes itu tidak memberi kesan yang besar terhadap pencalonan beliau dalam Parti Republikan pada 2024.
Dakwaan di Georgia menjerat Trump dan 18 sekutunya berhubung usaha untuk campur tangan dengan keputusan undian pada pilihan raya tahun 2020.
Bagaimanapun, Trump sering mendakwa beliau menjadi sasaran secara sistematik oleh elit politik.
“Realitinya ialah dakwaan ini hanya mengukuhkan kedudukannya dalam Republikan.
“Sebelum Trump menamatkan tugasnya sebagai Presiden, pengikutnya memutuskan bahawa beliau adalah juara mereka.
“Malah sebelum bertanding, Trump pernah berkata dia boleh pergi ke Fifth Avenue dan menembak seseorang tetapi orang ramai akan tetap menyokongnya, dan saya fikir itu sudah terbukti,” kata Timbalan Presiden Pusat Pemikir Niskanen, Geoffrey Kabaservice kepada Al Jazeera.
Trump yang menafikan sebarang salah laku dalam semua kes terhadapnya kini dilaporkan mendahului perlumbaan pencalonan Parti Republikan.
Menurut purata data pengundian oleh laman web FiveThirtyEight, beliau berada di hadapan pencabar terdekatnya, Gabenor Florida, Ron DeSantis, dengan perbezaan mata sebanyak 38 peratus.
Tinjauan pendapat yang dibuat laman web berkenaan mendapati sokongan Trump dalam kalangan ahli Republikan meningkat mendadak berikutan pendakwaan pertama di New York yang melibatkan pembayaran secara sembunyi kepada bintang filem lucah, Stormy Daniels semasa kempen pilihan raya pada 2016.
Sokongan Republikan bagaimanapun dilihat sedikit menurun berikutan dakwaan keduanya pada Jun dalam kes di Mahkamah Persekutuan berkaitan kesalahan pengendalian dokumen sulitnya dan kemudian merosot sedikit susulan tuduhan berkaitan usaha untuk menumbangkan pilihan raya 2020.
JADI LIABILITI
Walaupun dakwaan gagal melemahkan pendahuluan awal Trump, beberapa pemerhati politik berpendapat, kes jenayah yang tidak pernah berlaku terhadap bekas Presiden boleh menjadi liabiliti kepada parti Republikan.
“Kes terbaharu terhadap Trump berkemungkinan akan memakan masa lebih panjang dan menarik sumber kewangan yang besar menjelang musim pilihan raya AS yang sibuk.
“Beliau perlu membayar yuran guaman yang besar dan dikhuatiri menjejaskan perbelanjaan misi kempennya untuk memenangi pencalonan atau memenangi pilihan raya umum kelak,” kata Felo Kanan Pusat Etika dan Dasar Awam Washington, Henry Olsen.
Trump menjadi bekas Presiden pertama dalam sejarah AS yang didakwa dan menghadapi tuduhan jenayah dalam empat kes berasingan di mahkamah negeri serta Persekutuan.
Bagaimanapun, Penganalisis Politik, Eric Ham berkata, Perlembagaan AS tidak menghalang seseorang yang didakwa atau disabitkan dengan jenayah daripada bertanding atau memenangi jawatan Presiden.
Menurut Ham, pendakwaan di Georgia membawa hukuman minimum lima tahun tetapi sehingga kini, tidak jelas bagaimana kemungkinan hukuman penjara akan dikendalikan jika Trump menjadi Presiden semula.
“Jika Trump dipilih sebagai Presiden dan juga disabitkan kesalahan, saya fikir kita boleh melihat krisis perlembagaan kerana AS tidak pernah melihat Presiden yang memenangi pilihan raya dipenjarakan semasa memegang jawatan,” katanya.