WASHINGTON: Ratusan kes kanser dilaporkan melibatkan penduduk berhampiran sebuah pangkalan tentera yang menyimpan peluru berpandu nuklear di Montana, Amerika Syarikat (AS).
Tentera Udara AS mengesan tahap `kemungkinan karsinogen’ yang tidak selamat di beberapa pusat kawalan pelancaran bawah tanah di fasiliti tersebut.
Bagaimanapun, Komando Serangan Global Tentera Udara dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sudah mengarahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan di kemudahan.
“Penemuan itu adalah yang pertama melalui persampelan secara meluas di pangkalan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang aktif.
“Ia dilakukan bagi menangani kebimbangan penyakit kanser yang dibangkitkan oleh komuniti,” jelas kenyataan itu.
Dalam sampel tersebut, dua pusat kawalan pelancaran di Pangkalan Tentera Udara Malmstrom di Montana merekodkan tahap Polychlorinated biphenyls (PCB) lebih tinggi berbanding ambang disyorkan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA).
PCB merupakan bahan berminyak atau mengandungi wax yang dikenal pasti oleh EPA sebagai kemungkinan karsinogen.
Penyakit limfoma bukan Hodgkin adalah sejenis kanser darah yang terbentuk dalam sistem limfa.
Sebagai tindak balas, Ketua Komando Serangan Global Tentera Udara, Jeneral Thomas Bussiere sudah mengarahkan `langkah segera’ untuk memulakan kerja pembersihan di kemudahan yang terjejas.
Langkah itu turut membabitkan usaha mengurangkan pendedahan anggota pasukan tentera udara terhadap keadaan berpotensi bahaya.
Satu laporan taklimat tentera diperoleh Associated Press pada Januari lalu, mendedahkan sekurang-kurangnya sembilan kru atau bekas anggota tempur peluru berpandu di Malmstrom didiagnosis dengan limfoma bukan Hodgkin.
Malah, Sekolah Perubatan Aeroangkasa Tentera Udara turut menjalankan kajian untuk meneliti penghidap kanser itu dalam kalangan komuniti kru tempur peluru berpandu termasuk memeriksa kemungkinan kluster penyakit itu.
Berdasarkan data baharu diperoleh daripada kumpulan bekas pegawai tempur peluru berpandu dan ahli keluarga mereka, kemungkinan terdapat beratus-ratus lagi pelbagai kes kanser.
Menurut Torchlight Initiative, sekurang-kurangnya 268 anggota tentera yang berkhidmat di tapak peluru berpandu nuklear itu atau ahli keluarga mereka disahkan menghidap kanser, penyakit darah atau penyakit lain sejak beberapa dekad lalu.
Jelas organisasi itu, sekurang-kurangnya 217 kes yang dilaporkan adalah penyakit kanser.
Daripada jumlah kes penyakit kanser dilaporkan, kira-kira 33 membabitkan limfoma bukan Hodgkin.
Dilaporkan, hanya ratusan anggota tentera udara berkhidmat sebagai kru peluru berpandu di setiap satu daripada tiga pangkalan ICBM Minuteman III yang dilancarkan di negara itu.
Tambah Torchlight Initiative, terdapat kira-kira 21,000 kru tempur peluru berpandu sejak operasi Minutemen bermula pada awal 1960-an.
Medan silo Minutemen III berpangkalan di Malmstrom, Pangkalan Tentera Udara FE Warren di Wyoming dan Pangkalan Tentera Udara Minot di North Dakota. – AP