LAHAINA: Proses memindahkan penduduk di Maui disambung apabila kebakaran hutan yang berlaku semakin hampir merebak ke pekan Kaanapali.
Arahan itu dikeluarkan beberapa jam selepas penduduk berhampiran Lahaina dibenarkan pulang ke kawasan kediaman mereka untuk mengambil barangan yang masih boleh digunakan selepas hampir keseluruhan kawasan musnah terbakar.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 80 orang terkorban akibat bencana alam itu yang disifatkan paling teruk dalam sejarah Amerika Syarikat (AS), manakala ratusan lagi dilaporkan hilang.
Jabatan Polis Maui menerusi kenyataan yang dikongsi dalam Facebook memaklumkan, keutamaan mereka ketika ini adalah memastikan keselamatan komuniti dan proses pemindahan penduduk giat dijalankan.
Pihak berkuasa membenarkan penduduk yang menetap di Lahaina masuk ke kawasan itu buat pertama kali pada pagi kelmarin.
Kebenaran itu menyaksikan banyak kenderaan beratur panjang untuk menunggu giliran masuk ke kawasan kediaman mereka yang sudah musnah.
Dalam pada itu, seorang penduduk Lahaina, Anthony La Puente tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumahnya musnah tanpa ada satu pun barangan yang selamat.
“Saya rasa amat terus apabila mengenangkan tiada satu pun barangan yang pernah menyimpan memori kami terselamat dalam insiden yang berlaku.
“Situasi ketika ini amat sukar buat saya dan keluarga.’ katanya.
Sementara itu, tinjauan koresponden AFP di lokasi kejadian menyaksikan terlalu banyak kemusnahan, termasuk menemukan sejumlah bangkai haiwan rentung seperti kucing dan anjing.