MEXICO CITY: Seorang wartawan warga Mexico maut akibat ditembak dalam kejadian di pusat peranginan pantai Acapulco di barat daya Geurrero.
Dalam kejadian jam 3 petang Sabtu, mayat Nelson Matus ditemui di dalam keretanya di tempat parkir dengan kesan tembakan, seperti dilaporkan akhbar El Universal.
Sementara itu, akhbar Reforma pula melaporkan kejadian terbabit berlaku di kejiranan Emiliano Zapata di utara Acapulco.
Laporan sama yang memetik media tempatan menjelaskan, mendiang sebelum ini, pernah terbabit dalam dua cubaan bunuh, masing-masing pada 2017 dan 2019, namun terselamat.
Kes pembunuhan Matus itu berlaku seminggu selepas mayat Luis Martin Sanchez yang juga seorang wartawan di akhbar La Jornada ditemui, selepas dilaporkan hilang di Nayarit.
Siasatan ke atas kes rasuah, jenayah dan kartel dadah di Mexico kebiasaannya mendorong kepada risiko yang tinggi.
Menurut pemerhati media, Reporters without Borders, Mexico negara yang mendahului bagi jumlah kes kematian dalam kalangan wartawan, tahun lalu. – REUTERS