TEBING BARAT: Tiga rakyat Palestin mati ditembak pasukan keselamatan Israel dalam dua insiden berasingan, di Tebing Barat semalam.
Dua lelaki iaitu Hamza Maqbool dan Khairi Shahee, terbunuh pada awal pagi semalam dalam serbuan tentera Zionis di Nablus.
Seorang lagi rakyat Palestin, Abdul Jawwad Saleh ditembak mati tentera Israel di perkampungan Umm Safa yang berjiran dengan Ramallah.
Penduduk Palestin menyifatkan serbuan tentera Zionis di Balus sebagai ‘pencerobohan’.
Serbuan itu dilakukan untuk memburu dua lelaki Palestin yang didakwa terlibat dalam serangan terhadap polis Israel dalam minggu ini.
Menurut koresponden Al-Jazeera, Alan Fisher, tentera Israel menggunakan alat pembesar suara mendesak lelaki Palestin yang diburu supaya menyerah diri.
“Tentera Israel menyerbu sebuah rumah yang dipercayai dihuni dua lelaki tersebut sebelum berlaku konfrontasi yang menyaksikan mereka ditembak mati.
Sementara itu, Abdul Jawwad pula ditembak ketika menyertai protes menentang penempatan haram Yahudi.
Ketika itu, penunjuk perasaan membaling batu ke arah tentera Israel menyebabkan mereka melepaskan tembakan dan mengenai Abdul Jawwad.