Rasuah: Menteri Pengangkutan Singapura disoal siasat 10 jam - Utusan Malaysia

Rasuah: Menteri Pengangkutan Singapura disoal siasat 10 jam

S. ISWARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Menteri Pengangkutan, S Iswaran disoal siasat selama kira-kira 10 jam oleh Biro Penyiasatan Amalan Rasuah (CPIB) berhubung dakwaan satu daripada kes rasuah paling serius dalam tempoh hampir empat dekad.

Kes pembongkaran membabitkan Iswaran dan seorang hartawan, Ong Beng Seng itu bukan saja mengancam imej negara berkenaan yang sebelum ini terkenal dengan imej bersih, malah turut menjejaskan parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Akhbar nasional The Straits Times melaporkan Iswaran tiba di bangunan CPIB di Lengkok Bahru di Redhill, kira-kira pukul 10.50 pagi semalam dengan menaiki kereta jenis Mazda berwarna kelabu.

Dengan berbaju biru dan berseluar gelap, menteri Kabinet itu memasuki pekarangan bangunan CPIB seorang diri.

CPIB sebelum ini menahan Iswaran dan Beng Seng yang juga Pengarah Urusan Hotel Property Limited pada 11 Julai lalu bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa itu tidak memberikan butiran mengenai siasatan berkenaan, sebelum kedua-dua lelaki terbabit dibebaskan dengan ikat jamin.

Kedua-dua pasport mereka turut diambil pihak berkuasa.

Singapura sentiasa tersenarai antara 10 negara paling kurang terbabit rasuah dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International, sejak ia bermula pada 1995.

Pegawai awam di Singapura adalah antara yang memperoleh gaji tertinggi di dunia, dengan Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong memperoleh pakej kira-kira SGD$2.2 juta (RM7.54 juta) setahun.

Itu antara strategi yang menurut pemimpin politiknya mendorong untuk kes rasuah di negara itu kekal rendah.

Selain kes terbaru itu, bulan lalu, Menteri Luar, Vivian Balakrishnan serta Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang, K Shanmugam dibersihkan daripada salah laku biro antirasuah kerana menyewa kediaman kolonial berhampiran hab gaya hidup mewah.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, mengarahkan semakan semula selepas pembangkang bertanya sama ada menteri berkenaan membayar kadar sewa di bawah harga pasaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya