MELAKA: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim meminta masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi ekoran insiden malang menimpa pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim yang disimbah asid baru-baru ini.
Menurutnya, kementerian tidak akan melayan sebarang khabar angin yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak dalam media sosial, kerana ia hanya mengeruhkan keadaan.
“Saya harap perkara ini kita serahkan pada pihak berkuasa dan biar pihak berkuasa dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.
“Kita tidak akan layan sebarang spekulasi liar mengaitkan kejadian yang menimpa kesemua pemain bola sepak kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Hari Belia Negara (HBN) di pekarangan Menara Taming Sari, Banda Hilir di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas insiden menimpa Faisal termasuk serangan ke atas seorang lagi pemain Harimau Malaya, Akhyar Rashid yang diserang dua individu Khamis lalu manakala kereta milik Safiq Rahim diserang dua lelaki bermotosikal di Padang Seri Gelam, Johor Bahru pada Selasa.
Ketika ditanya sama ada insiden itu berkemungkinan ada kaitan dengan perasaan tidak puas hati peminat terhadap kepemimpinan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, Adam Adli menafikan dakwaan tersebut.
Tegasnya, kejadian yang menimpa ketiga-tiga pemain bola sepak negara itu turut menjejaskan sukan lain.
Katanya, oleh itu aspek keselamatan terhadap pemain dan sebarang kejohanan yang dianjurkan kini menjadi keutamaan bagi semua persatuan sukan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Sebagai contoh Majlis Perasmian Pelancaran Jersi dan Pengenalan Skuad Sepak Takraw Kebangsaan menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw 2024 malam Rabu, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) turut meningkatkan keselamatan,”
katanya. – UTUSAN










