WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) merancang melancarkan kapal angkasa berkuasa nuklear ke orbit bumi seawal tahun 2025.
Para saintis percaya teknologi berkenaan mampu mengurangkan masa yang diperlukan untuk melakukan perjalanan sejauh 480 juta kilometer ke planet Marikh.
Kapal angkasa yang dikenali sebagai DRACO akan dibina oleh syarikat aeroangkasa dan pertahanan, Lockheed Martin menerusi projek yang diketuai oleh NASA dan Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan AS (DARPA).
Pentadbir NASA, Bill Nelson berkata, jika ujian awal yang dilakukan berjaya, NASA berharap kapal angkasa berkuasa nuklear itu akan membantu agensi berkenaan memenuhi matlamatnya menghantar manusia ke Marikh menjelang tahun 2040.
Jelasnya, teknologi yang digunakan memperkenalkan haba daripada reaktor pembelahan nuklear kepada propelan hidrogen untuk memberikan tujahan yang dipercayai jauh lebih cekap berbanding enjin roket berasaskan kimia tradisional.
“Ini kerana Roket terma nuklear (NTR) diketahui menawarkan nisbah tujahan berat yang tinggi sekitar 10,000 kali lebih besar daripada pendorongan elektrik dengan kecekapan dua hingga lima kali ganda daripada pendorongan kimia di angkasa,” katanya.
Timbalan Presiden Kempen Eksplorasi Lockheed Martin, Kirk Shireman berkata, pihaknya berharap teknologi nuklear yang digunakan mampu mempercepatkan misi menjejakkan kaki ke planet keempat dari matahari itu yang sebelum ini dianggarkan memakan masa sekitar tujuh bulan.
“Kami akan menguji teknologi nuklear ini dan melancarkan demonstrasi untuk mengumpulkan sebanyak mungkin data yang hebat.
“Bersama-sama dengan transit yang lebih pantas, sistem NTR akan membantu angkasawan mengurangkan risiko pendedahan kepada sinaran berbahaya di angkasa lepas dan masalah kekurangan bekalan makanan malah mereka juga tidak perlu berada di angkasa dalam tempoh yang terlalu lama.-AGENSI