AUSTIN: Seorang lelaki mengembara ke seluruh dunia dalam masa 80 jam dengan hanya menaiki beberapa siri penerbangan tambang murah secara berturut-turut.
Lapor Daily Mail, pencipta kandungan YouTube, Noel Philips, 42, memulakan misi mengembara mengelilingi dunia itu pada April lalu.
Noel berlepas dari Houston di Texas dan kembali semula ke bandar itu dalam tempoh lebih tiga hari kemudian.
Pengembaraan Noel merangkumi sembilan penerbangan, tujuh syarikat penerbangan yang berbeza, lima negara dan perjalanan sejauh 40,669 kilometer (km).
Noel yang berasal dari Leicester dan kini tinggal bersama keluarganya di Texas memaklumkan dia hanya menggunakan `lima peraturan mudah’ untuk melengkapkan misi mengelilingi dunia itu.
Katanya, peraturan itu antara lain mengembara dengan menaiki penerbangan tambang murah, tiket kelas ekonomi, merentas kedua-dua hemisfera, ke arah timur dengan setiap penerbangan dan mengikut masa yang dinyatakan.
Secara keseluruhannya, Noel menghabiskan lebih 51 daripada 80 jam dalam penerbangan, meninggalkan sehari penuh, selain lima jam melakukan penerbangan sambungan dan berehat di lapangan terbang.
Menurut Noel, dia membelanjakan sebanyak AS$2,908.33 (RM13,231) hanya untuk tambang penerbangan dari perjalanannya.
Noel sebelum ini pernah mengelilingi dunia dengan menaiki penerbangan dalam masa 80 jam pada tahun 2019.
Ketika itu, Noel dikatakan berlepas dan pulang semula ke London serta dalam misi tersebut dia menaiki penerbangan kelas perniagaan dan tidak melintasi Khatulistiwa.