Cuaca ekstrem, banduan AS 'berendam' air mangkuk tandas

Cuaca ekstrem, banduan AS ‘berendam’ air mangkuk tandas

PENJARA Allan B Polunsky di Livingston, Texas merupakan antara penjara yang tidak mempunyai penghawa dingin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Para banduan yang ditempatkan di dalam sel penjara tanpa penghawa dingin dilaporkan bergelut kepanasan ketika suhu panas semakin meningkat di Amerika Syarikat (AS).

Situasi itu menimpa seorang daripada banduan bernama Calvin Johnson yang menjalani hukuman penjara selama 37 tahun di sebuah penjara di Texas.

Sepanjang tempoh itu, Calvin menghabiskan 37 musim panas dikurung dalam sel tanpa penghawa dingin.

Pada hari-hari tertentu ketika suhu meningkat melebihi 37.7 darjah Celsius, kehidupan Calvin bergantung pada desakan untuk terus hidup.

“Kadang-kala mangkuk tandas ditutup sehingga ia tersumbat bagi membiarkan air mengalir agar saya dapat baring atas air bagi menyejukkan badan seketika.

“Saya pernah melakukan taktik itu beberapa kali,” kata Calvin yang berusia 67 tahun.

Calvin turut mendakwa pernah melihat beberapa banduan minum air dari mangkuk tandas kerana merasakan air itu lebih sejuk berbanding dari sinki sel.

Meskipun terdapat beberapa cara untuk menyejukkan badan disediakan di penjara Calvin ditahan, dia mendakwa ia tidak mudah untuk diakses.

“Kipas amat terhad di sini malah kami jarang diberi ais. Ramai yang pengsan akibat panas. Saya pernah melihat ia berlaku beberapa kali,” katanya.

Calvin dibebaskan dari penjara pada tahun lalu.

Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan, tahun 2022 merupakan musim panas ekstrem yang ketiga pernah direkodkan di AS.

Dilaporkan, lebih 230 juta rakyat AS bakal berdepan suhu melebihi 32.2 darjah Celsius pada minggu ini.

Berdasarkan analisis Inisiatif Dasar Penjara, sebanyak 13 negeri di beberapa bahagian paling panas di AS termasuk di Texas dan Arizona, mengalami kekurangan penghawa dingin di penjara yang boleh menyebabkan kematian.

Satu kajian diterbitkan dalam Plos One mendapati kadar kematian ketika musim panas di penjara negeri dan swasta di AS meningkat sebanyak 5.2 peratus bagi setiap peningkatan bacaan suhu.

Daripada jumlah 100 penjara dikendalikan oleh Jabatan Keadilan Jenayah Texas (TDCJ), sebanyak 31 dilengkapi dengan penghawa dingin sepenuhnya manakala 55 lagi mempunyai penghawa dingin terhad di ruang tertentu.

Sebanyak 14 penjara tidak mempunyai penghawa dingin langsung seperti di penjara Wainwright yang mana Calvin ditahan.

Sebelum ini, pasukan penyelidik dari Universiti Brown, Boston dan Harvard mendapati 13 peratus kes kematian direkodkan di beberapa penjara tanpa penghawa dingin di Texas antara tempoh 2001 dan 2019 mungkin berpunca daripada cuaca panas ekstrem.

Memetik laporan Texas Tribune, sejak pertengahan Jun, sekurang-kurangnya sembilan banduan meninggal dunia akibat serangan jantung di penjara Texas ketika bacaan suhu di luar meningkat melebihi 37 darjah Celsius.

Menurut laporan akhbar itu, sekurang-kurangnya 14 lagi meninggal dunia tanpa diketahui punca pada hari-hari panas terik.

Sementara itu, jurucakap TDCJ Amanda Hernandez berkata, tindakan mengaitkan sebarang kematian dengan cuaca panas melampau sebelum siasatan kes selesai, adalah tidak wajar.

Berdasarkan statistik rasmi jabatan itu, tiada kes kematian berkaitan gelombang haba dilaporkan sejak tahun 2012.

Katanya, hanya lapan banduan yang memerlukan rawatan perubatan segera untuk kecederaan berkaitan gelombang haba pada tahun ini.

Namun, tegas beliau, semua kes berkenaan tidak menyebabkan kematian. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN