BOGOTÁ: Anak kepada Presiden Colombia, Gustavo Petro, ditahan semalam atas dakwaan kes pengubahan wang haram dan mengumpul kekayaan secara haram dalam skandal yang dikaitkan dengan kempen pilihan raya pemimpin itu.
Melalui hantaran dalam Twitter yang kini dijenamakan semula sebagai X, Petro berkata, polis menahan anak lelakinya, Nicolas Petro, 37, serta bekas isteri Nicolas, Daysuris Vasquez.
“Saya mendoakan anak agar dia kuat dan nasib menyebelahinya. Semoga insiden ini membina karakternya dan dia mengambil iktibar daripada kesilapannya.
“Sebagai seorang insan dan juga bapa, terasa amat sakit untuk melihat begitu banyak tindakan yang merosakkan diri,” katanya sambil berikrar tidak akan campur tangan dalam prosiding undang-undang membabitkan Nicolas.
Ejen keselamatan memberkas Nicolas dan Vasquez di bandar Barranquilla sebelum membawa mereka ke Bogota di mana pendakwa raya memaklumkan bahawa kedua-duanya dikawal ketat sementara menunggu pendengaran di mahkamah.
Pendakwa raya mengesahkan penahanan Nicolas atas pertuduhan kes pengubahan wang haram serta mengumpul kekayaan secara haram. Vasquez juga berdepan pertuduhan kes pengubahan wang haram.
Dalam wawancara dengan majalah Semana pada Mac lalu, Vasquez mendakwa bahawa Nicolas menerima sejumlah besar wang daripada penyeludup dan pengedar dadah pada 2022 dikatakan untuk kempen pemilihan Presiden yang ditandingi Petro.
Bagaimanapun, Vasquez mendakwa bahawa Nicolas sebaliknya menggunakan wang berkenaan untuk menjalani kehidupan mewah di Barranquilla.
Selepas skandal itu terbongkar, Petro menafikan pernah menerima wang daripada ketua jenayah dadah yang berkuasa di Colombia, malah beliau sendiri meminta anaknya disiasat.
Nicolas dilahirkan pada 1980-an ketika Petro berada dalam pemberontakan gerila bandar Marxist M-19, iaitu satu daripada beberapa kumpulan bersenjata yang berusaha merampas kuasa daripada parti politik tradisional.
Sebelum ini, Petro mengaku tidak hidup bersama Nicolas berikutan perang saudara, berbanding lima lagi anaknya yang lebih muda dan dibesarkan selepas perjanjian damai dengan gerakan M-19 ditandatangani pada 1990. – AFP










