BALI: Jabatan Imigresen mendedahkan jumlah pelancong asing yang memasuki Indonesia menerusi Lapangan Terbang Gusti Ngurah Rai, Bali mencecah 19,000 orang sehari.
Ketua Pengarahnya, Silmy Karim berkata, angka itu melebihi jumlah kemasukan pelancong ke negara ini, terutamanya ke Bali ketika pandemik Covid-19 masih berlangsung.
“Berdasarkan jumlah kemasukan warga asing ke Indonesia menerusi Bali, boleh kita katakan negara kita semakin pulih, bukan sahaja daripada pandemik Covid-19, malah merangkumi pelbagai sektor lain.
“Ketika pandemik, hanya 17,000 pelancong masuk ke Bali dan jumlah yang direkodkan ketika ini sudah cukup baik,” katanya.
Selain itu, Silmy juga menjadikan jumlah tersebut sebagai kayu pengukur bahawa pulau peranginan Bali sudah hampir ‘pulih sepenuhnya’ selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Namun, beliau juga berharap peningkatan kemasukan pelancong ke Bali tidak akan mencemarkan budaya dan tapak suci di pulau peranginan itu.
“Sejak beberapa bulan lalu, kita dikejutkan dengan sejumlah insiden yang menyaksikan ramai pelancong asing mencemarkan budaya Bali.
“Kita tidak mahu makin ramai pelancong masuk Bali, makin ramai yang ‘buat hal’.
“Kita mahu pelancong yang masuk ke Bali atau di mana-mana destinasi lain di seluruh Indonesia supaya sentiasa menghormati budaya dan agama kami,” ujarnya.