165 juta penduduk dunia jadi miskin tegar

165 juta penduduk dunia jadi miskin tegar

GAMBAR dari pemandangan udara menunjukkan rumah penduduk di kawasan Fort National Port-au-Prince di Haiti. - AFP   
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan seramai 165 juta orang lagi di kebanyakan negara termiskin di dunia terheret ke dalam kancah kemiskinan tegar.

Situasi itu berlaku selepas negara berkenaan dilanda kemelesetan ekonomi secara berturut-turut sejak pandemik Covid-19.

Justeru, Agensi Program Pembangunan PBB (UNDP) menegaskan negara-negara berpendapatan rendah perlu diberi penangguhan pembayaran balik hutang untuk meredakan tamparan daripada kos pinjaman yang melambung tinggi.

Lapor The Guardian, kos pinjaman yang meningkat secara mendadak mengakibatkan lebih 20 peratus daripada populasi dunia kini terjejas.

Wang harian golongan penduduk terjejas itu dilaporkan merosot di bawah paras AS$3.65 (RM16.52).

Selain menggesa kerajaan Barat mengambil tindakan segera, UNDP menegaskan `pelepasan hutang sementara’ amat diperlukan bagi membolehkan perbelanjaan sosial yang penting dilakukan.

Jelas agensi itu, kegagalan berbuat demikian bakal memburukkan lagi krisis kemiskinan yang dialami ketika ini.

Dilaporkan, banyak negara berpendapatan rendah mengambil pinjaman bagi membantu menangani krisis tercetus akibat pandemik, kos makanan dan bahan api yang melambung tinggi.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan insiden pencerobohan Russia di Ukraine yang memberi implikasi terhadap bekalan komoditi pertanian selain mendorong kenaikan harga tenaga elektrik sehingga mencapai paras rekod tertinggi.

Malah, bayaran khidmat hutang juga meningkat secara mendadak apabila bank pusat menaikkan kadar faedah sebagai tindak balas kepada inflasi yang melambung tinggi.

Sementara itu, UNDP memaklumkan bayaran khidmat hutang menggunakan sebahagian besar hasil dan perbelanjaan awam dalam ekonomi membangun secara berterusan, sekaligus mengehadkan ruang bagi melakukan perbelanjaan perkhidmatan penting.

Jelas agensi itu, data terkini menunjukkan kebanyakan negara berpendapatan rendah menggunakan kira-kira dua hingga tiga kali ganda bahagian hasil atau perbelanjaan kerajaan bagi melakukan pembayaran faedah. 

UNDP menganggarkan sebanyak 25 negara berpendapatan rendah membelanjakan lebih 20 peratus hasil pendapatan untuk melunaskan bayaran khidmat hutang pada tahun lalu.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN