Dasar perdagangan fleksibel perlu jadi fokus pemerkasaan ekonomi - Gerakan

Dasar perdagangan fleksibel perlu jadi fokus pemerkasaan ekonomi – Gerakan

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memulih dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap persekitaran serta prospek ekonomi dan perdagangan negara.

Presiden parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan wajar meletakkan fokus utama pemerkasaan ekonomi negara tahun ini kepada dasar perdagangan.

Beliau berkata, penggubalan dasar yang lebih fleksibel membantu negara dalam menghadapi perubahan serta ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan global.

“Langkah ini penting bagi memastikan Malaysia dapat menangani kesan aliran ekonomi, perdagangan dan pelaburan global dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pelaksanaan e-Invois, gangguan rantaian bekalan susulan kenaikan tarif Amerika Syarikat, serta perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah memberi kesan negatif terhadap kos operasi perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kerajaan perlu mengkaji semula atau menyesuaikan beberapa langkah yang telah dirancang atau dilaksanakan bagi mengurangkan beban kos yang ditanggung oleh sektor perniagaan.

“Walaupun Agensi Penarafan Malaysia (MARC) menyatakan bahawa ringgit berpotensi terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS serta penambahbaikan asas ekonomi domestik, namun perkara yang lebih penting ialah kerajaan membantu PMKS mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan keupayaan keuntungan mereka,” katanya.

Dominic berharap agar kerajaan menilai semula rancangan pelaksanaan cukai karbon dan cukai levi pekerja asing berperingkat (multi-tier levy).

“Sekiranya kerajaan dapat meningkatkan had pengecualian cukai bagi PMKS serta menurunkan kadar cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan, langkah ini akan membantu merangsang pertumbuhan sektor PMKS,” katannya.

Tambahnya, dari sudut perdagangan, pengukuhan nilai ringgit sememangnya membantu mengurangkan kos import barangan, khususnya bagi syarikat yang bergantung kepada bahan mentah dan produk perantaraan dari luar negara.

“Namun bagi syarikat berorientasikan eksport, pengukuhan ringgit berpotensi menyebabkan harga barangan eksport meningkat, sekali gus menjejaskan daya saing di pasaran antarabangsa,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN