PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian memastikan memastikan pelaksanaan projek-projek kecil segera dijalankan dengan mengenal pasti projek-projek terlibat seawal Februari ini.
Perdana Menteri berkata, projek-projek itu termasuk jalan desa, pembinaan kuarters, klinik daif dengan membenarkan lantikan terus kontraktor diberikan untuk projek bernilai sehingga RM200,000 dan sebut harga sehingga RM1 juta.
Katanya, kerajaan memperuntukkan RM2.4 bilion bagi projek kecil untuk kumpulan kontraktor G1 hingga G4 yang kebanyakannya dikendalikan oleh kontraktor bumiputera dan pelaksanaan harus bermula sekarang di peringkat negeri dan pejabat daerah dan mempercepat semua proses.
“Ini saya tekankan juga (pemulihan) sekolah daif juga dibenarkan dan terbuka kepada pra kelayakan (kontraktor).
“Projek yang lain berjalan ikut jadual, saya tak bimbang sangat tentang projek tebatan banjir kerana ia berjalan ikut keperluan, perumahan awam, ECRL, lebuh raya Pan Borneo yang mana sekarang sudah bermula, tapi saya tekankan tentang projek-projek kecil yang harus dijalankan lebih cepat,” katanya ketika menyampaikan amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, buat pertama kali waran am perbelanjaan dikeluarkan pada Disember 2025 berbanding sebelum ini hanya dikeluarkan pada Mac atau April setiap tahun.
Katanya, langkah ini membolehkan pelaksanaan projek-projek dijalankan lebih cepat.
“Seperti kes jabatan roboh di Kuala Krai. Betul ada masalah kerana tanah itu adalah tanah swasta. Menteri Besar dan Kerajaan Negeri memberikan kerjasama untuk kita segera perbaiki.
“Jangan tunggu (setiap masalah rakyat) dilapor di media sosial. Semua jabatan dari kampung masing-masing perlu perhati kalau ada apa sahaja rungutan hal-hal kecil sebegini harus segera diselesaikan.
“Mana mungkin kita bicara soal twin tower (menara berkembar), jambatan panjang, LRT, dan macam-macam lagi, tapi jambatan robek anak-anak nak pergi sekolah tidak dapat diperbaiki,” katanya.
Dalam hal ini, beliau berkata, Kementerian Ekonomi dan Kementerian kewangan serta Kementerian Kerja Raya memastikan hal-hal kecil dilaksanakan segera.
“Saya fikir cukup tiga tahun dan masa sekarang kita nak tengok pelaksanaan lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN










