GEORGE TOWN : Pulau Pinang menyasarkan untuk menduduki kelompok empat pasukan terbaik pada Kejohanan Sepak Takraw Jemputan Piala TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang akan berlangsung selama enam hari di sini, bermula esok.
Penolong pengurus pasukan, Aliff Ashraf Abdul Rahim berkata, walaupun skuad Pulau Pinang hanya dibentuk dalam tempoh dua minggu sahaja, namun, beliau yakin tahap keserasian yang ditunjukkan oleh para pemain semakin meningkat dari sehari ke sehari.
“Untuk kejohanan ini, kita cuba turunkan bukan sahaja pemain-pemain muda, tetapi, para pemain yang boleh bersainglah (untuk mendapatkan kejuaraan).
“Kita ada tiga orang pemain import berpengalaman dari Thailand. Kita juga ada Aiman (pemain apit kanan kebangsaan, Muhammad Shahalril Aiman Halim) dan kapten, Farhan (Mohd Farhan Adam) yang membawa pulang pingat emas buat negara pada Sukan SEA yang lalu.
“Jadi, kita cuba untuk memenuhi sasaran empat pasukan terbaik. Bagaimanapun, kita masih menghormati pasukan-pasukan lain yang rata-ratanya dijangka menurunkan pemain terbaik termasuk yang pernah beraksi pada STL (Liga Sepak Takraw) yang lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, satu Majlis Peluncuran Pasukan Sepak Takraw Pulau Pinang telah diadakan di Tanjung Bungah di sini malam tadi dengan disempurnakan oleh Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri merangkap Penasihat II, Jawatankuasa Induk kejohanan iaitu Zairil Khir Johari.
Hadir sama Presiden Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang (Pesenang), Datuk Seri Ahmad Ismail.
Selain Pulau Pinang, edisi sulung kejohanan itu turut menampilkan sembilan pasukan lain iaitu Melaka, Kuala Lumpur, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Negeri Sembilan; Majlis Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan (Maskab) Bomba; Kelantan, Perak, Selangor dan Mutiara Trimbun Waris.
Difahamkan, kejohanan tersebut akan dijalankan mengikut format liga sepusingan dan empat pasukan teratas akan mara ke peringkat kalah mati sebelum ke final untuk menentukan kejuaraan.
Sementara itu, pengerusi kejohanan, Mohd Shaherman Shafie berkata, penganjur membenarkan setiap pasukan untuk menggunakan dua pemain import ketika berada di dalam gelanggang berbanding hanya satu semasa STL bagi memastikan pertandingan berlangsung dengan lebih berdaya saing.
Katanya, juara kejohanan akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000, diikuti RM10,000 untuk naib johan; RM5,000 bagi tempat ketiga pemenang tempat keempat akan menerima RM2,500.-UTUSAN










